Dakwaan Cederakan Murid, Cikgu Azizan Lepas

Share This:

Mahkamah Majistret Seremban hari ini membuat keputusan melepas tanpa membebaskan guru yang dikenali ramai dengan nama Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada April lepas.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Oktober lalu, dan hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan. Azizan diwakili peguam Francis Pereira.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.

Mereka bersorak apabila Cikgu Azizan keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dan dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Cikgu Azizan ketika ditemui, bersyukur dengan keputusan berkenaan dan memberi jaminan kes berkenaan tidak melemahkan semangatnya untuk terus mendidik.

Dalam kes ini, beberapa orang guru yang enggan nama mereka didedahkan berpendapat bahawa ibu bapa pada masa kini terlalu mementingkan anak mereka sehingga niat guru hendak mendidik anak mereka yang tidak berdisiplin disalah anggap dan tindakan guru itu dipertikaikan.

Ada kes sebelum ini yang anak mereka didenda sehingga menyebabkan guru berkenaan disaman oleh keluarga berkenaan.

“Saya cukup tidak suka kalau cikgu yang bertindak mendidik anak murid tapi ibu bapa terlalu pentingkan anak mereka sampai sanggup menyaman guru,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*