Bagi Aishah, Dia Hanya Mahu Terus Menyanyi

Bagi penyanyi yang disifatkan lagenda tanah air, Aishah, meraih gelaran juara Gegar Vaganza (GV4), itu adalah hadiah kepada pengorbanannya bertarung lapan minggu dalam program realiti berkenaan, dan beliau hanya mahu peluang untuk terus menyanyi.

Mengalahkan lima peserta lain termasuk saingan sengit Liza Hanim dan Hazami, Aishah menyifatkan kejayaan merangkul gelaran juara memberi makna yang cukup besar dalam kerjaya seninya selama 30 tahun.

“Saya hanya mahu beryanyi. Selama ini, kalau menyebut nama saya pun, orang akan ingat saya sebagai penyanyi.

“Tidak dinafikan, kemenangan ini memberikan makna yang cukup besar. Saya harap peluang akan terus diberi untuk saya menghiburkan peminat dalam semua ruang dan medium yang ada.

“Nilailah seseorang itu berdasarkan bakat dan bukannya perkara lain,” katanya menurut laporan BH Online.

Pada pentas akhir itu, Aishah menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion sebagai lagu tugasan solo dan Supergirls untuk segmen battle.

Selain Liza Hanim dan Hazami, GV4 disertai Firman, Lan dan Tia Jinbara.

Aishah berkata, sejak menyertai program realiti itu, semakin banyak tawaran membuat persembahan diterima.

“Undangan untuk membuat persembahan semakin banyak diterima. Apa yang menggembirakan, ada pihak sudah merisik untuk menawarkan saya mengadakan konsert di Singapura.

“Peminat pula semakin ramai. Saya terkejut apabila ramai kanak-kanak mula mengenali saya. Lucu apabila saya ke masjid, mereka memanggil nama saya Aishah.

“Sekarang ini, kalau berjalan ke mana-mana, memang ramailah yang nak selfie. Saya layankan saja,” katanya.

Ditanya mengenai hasratnya bersemuka dengan individu yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ,seperti yang diluahkan di Facebook miliknya, baru-baru ini, Aishah berkata:

“Saya bukannya marah tetapi mahu beri peringatan kepada individu terbabit supaya kalau sudah melempar batu, janganlah pula nak sembunyikan tangan.

“Kalau betul dia tak puas hati dengan saya, marilah bersemuka,” katanya yang berniat memberi pengajaran kepada netizen atas apa yang disifatkannya sebagai kes buli siber.

Kedudukan markah

Aishah 81 peratus

Liza Hanim 79 peratus

Lan 70.4 peratus

Hazami 70 peratus

Firman 69 peratus

Tia Jinbara 66 peratus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *