Ada Beza Hubungan Antara Malaysia Dan Amerika Syarikat, Kata PM

Share This:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Malaysia ada meletakkan perbezaan dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) antara hubungan yang menguntungkan dengan sikap negara Uncle Sam itu yang tidak selaras dengan pendirian negara.

Beliau memberikan komen berkenaan hubungan baik Kuala Lumpur-Washington tetapi pada masa yang sama mengutuk tindakan Presiden AS Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, menurut Najib bukan semua rakyat AS menyokong keputusan itu.

Pembangkang baru-baru ini selepas kenyataan Najib mengutuk tindakan AS itu, menuduh Najib berkawan baik dengan Trump kerana mahu sama-sama mengiktiraf langkah berkenaan menindas rakyat Palestin. Sebelum itu dalam soal hubungan baik ekonomi, pakatan pembangkang tidak pula mengiktiraf Najib dan Trump sebagai sahabat.

“Kita tak boleh sekat umpamanya pelabur dari AS daripada melabur ke Malaysia semata-mata kerana keputusan Presiden Donald Trump ini,” katanya.

Najib bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki semalam.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kemudian meneruskan perjalanan bagi lawatan kerja ke Bahrain.

Mengulas langkah susulan selepas sidang kemuncak luar biasa hasil inisiatif Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Ke-13, Perdana Menteri berkata, OIC bersedia menggunakan platform Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan persidangan PBB.

Najib yang dirujuk sebagai pemimpin yang rapat dengan Trump menjelaskan, rundingan dua hala termasuk dengan pentadbiran kerajaan AS perlu dilakukan dengan harapan negara itu akan sedar betapa pentingnya mencari perdamaian yang adil dan saksama.

Beliau menambah, penganjuran sidang kemuncak ini adalah tepat pada masanya untuk umat Islam menyuarakan pandangan berkaitan Palestin.

“Sidang kemuncak luar biasa ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dengan kehadiran ramai pemimpin negara Islam.

“Walaupun tempoh masa yang agak singkat, kehadiran yang baik membuktikan sokongan padu yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara Islam terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak-hak mereka bagi mendapatkan sebuah negara Palestin yang berdaulat perlu diberikan pujian,” katanya yang turut diberi peluang untuk menyuarakan pandangan Malaysia dalam mesyuarat tersebut.

Sebanyak 18 negara diwakili oleh Presiden atau Perdana Menteri, manakala selebihnya pegawai kanan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*