PM Najib Terima Anugerah Tertinggi Daripada Raja Bahrain Esok

Share This:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima anugerah King Hamad Order for Development daripada Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menyatakan anugerah itu akan dikurniakan kepada Najib di Istana Shaikh Hamad semasa beliau melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Bahrain, bermula esok.

“Ia merupakan anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Bahrain,” kata kenyataan itu.

Semasa lawatan itu, Najib yang akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Raja Hamad.

Perdana menteri dan isteri juga dijadual menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Putera Mahkota, Timbalan Pemerintah Tertinggi dan Timbalan Perdana Menteri Pertama Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa di Istana Ghudaibiya pada Sabtu.

Menurut Kementerian Luar sebelum menghadiri majlis jamuan itu, Najib dan Rosmah dijadual menghadap Putera Salman.

“Pada lewat tengah hari itu, perdana menteri dan isteri akan menghadiri upacara sambutan Hari Kebangsaan Bahrain di Istana Sakhir, dengan Raja Ahmad dijadual turut berangkat hadir,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata lawatan itu akan mengeratkan lagi hubungan jalinan persahabatan sedia ada antara Malaysia dan Bahrain.

Jumlah dagangan Malaysia-Bahrain dari Januari hingga September tahun ini ialah RM805.73 juta, manakala jumlah eksport mencapai RM389.10 juta dan jumlah import pula RM416.63 juta.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*