Budak 8 Tahun Maut Tertembak Senapang Moyang

Share This:

Seorang ibu terkilan apabila suara anaknya masih terngiang-ngiang dalam fikiran memintanya menemani membeli kelengkapan persekolahan.


“‘Mama baliklah, ambil kakak pergi beli baju sekolah’.

“Saya terkilan tidak sempat tunaikan permintaan Puteri. Malam semalam saya ada menghubunginya dan masih terngiang-ngiang permintaannya kepada saya supaya pulang dan teman dia pergi beli barangan sekolah,” kata Wan Nor Suriati Wan Masri, 26.



Foto: BH Online/Bernama



Memetik BH Online, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin, 8, maut selepas tertembak senapang patah milik moyangnya, semalam.


Difahamkan, mangsa sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah datuknya di Kampung Empa, Pokok Sena, sebelum terkena tembakan senapang patah milik moyangnya, Saidin Hamid, 80, pada kira-kira jam 11.30 pagi.


Ketika kejadian, Suriati berada di rumahnya di Kampung Baru, Wang Tepus, Jitra, sebelum bergegas ke rumah bapanya di Pokok Sena itu.

“Sebak saya lihat keadaan muka Puteri berlumuran darah sambil diriba neneknya. Saya tergamam dan terduduk sampai tidak boleh buat apa-apa lagi.

“Saya hanya tahu anak saya tertembak, tetapi tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku,” katanya.


Sementara itu, bekas suami Suriati mengesahkan Saidin memiliki senjata api yang sering digunakan untuk berburu, namun tidak tahu bagaimana kejadian sebenar berlaku.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah merampas senapang patah serta lesen senjata api berkenaan untuk tindakan lanjut.


Dua lelaki (ahli keluarga mangsa) turut ditahan bagi membantu siasatan.



Foto: BH Online

“Berdasarkan siasatan awal, suspek, 50, dikatakan mengambil senjata api terbabit untuk menembak tupai, namun seorang lagi suspek berusia 15 tahun secara tidak sengaja tertembak senapang patah itu dan mengenai mangsa.

“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,”katanya. 

 

 

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*