Mampukah Turki Membawa OIC Bertindak Menjadi Suara Rakyat Palestin?

Share This:

Tengah hari tadi (waktu Malaysia), Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan telah mempengerusikan Sidang Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul. Persidangan tergempar ini diadakan berikutan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Negara haram Israel dan sekaligus memindahkan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Sebagai bekas Pengerusi OIC sebelum diabil alih oleh Turki, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah diminta hadir ke Istanbul bagi menghadiri persidangan mengejut ini. Jemputan yang dianggap beliau sebagai satu penghormatan buat Malaysia ini telah memaksa Datuk Seri Mohd Najib menunda kesemua jadualnya bagi membolehkan beliau hadir.

Sekali imbas, usaha Erdogan ini menampakkan keseriusan beliau dalam menangani sebarang ancaman yang melanda dunia Islam hari ini. Benar, tugas selaku Pengerusi OIC bukannya mudah kerana terpaksa berhadapan dengan musuh dari dalam dan luar dunia Islam seperti ancaman Israel dan Amerika, ancaman militan Daesh dan perperangan yang berpanjangan di beberapa buah negara Islam di Timur Tengah.

Disinilah munculnya persoalan, mampukah Erdogan membawa Turki sebagai peneraju OIC menyatukan seluruh negara Islam dan sekaligus menjadi suara rasmi rakyat palestin dan seluruh umat Islam dalam menyuarakan bantahan terhadap keputusan yang diambil oleh Trump ini?

Untuk soalan ini, cabaran untuk Erdogan nampaknya memang cukup sukar. Manakan tidak, dunia sedia maklum bahawa hubungan dua hala antara Arab Saudi selaku peneraju dunia Islam cukup tegang dengan Iran, Yemen dan juga Qatar. Untuk mendapatkan satu keputusan yang mana ketiga-tiga negara ini persetujui juga bukan satu perkara yang cukup mudah.

Arab Saudi sudah tentu enggan meletakkan risiko hubungan akrabnya dengan Amerika berada dalam keadaan yang tidak menentu jika menyokong sebarang usul yang bertentangan dengan keputusan Amerika. Begitu juga negara-negara seperti Mesir, Qatar dan UAE yang diketahui dunia sebagai antara negara proksi Amerika di rantau Teluk.

Bagi Iran pula, sudah semestinya perseteruan panjang mereka dengan Amerika dijadikan alasan untuk negara berkenaan menghentam sepenuhnya keputusan Trump. Malah, Iran juga tidak teragak-agak akan menyerang pendirian Arab Saudi dalam isu ini terutamanya penglibatan Arab Saudi di Yemen yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Selain itu, Erdogan juga turut berhadapan dengan masalah meleraikan kekusutan yang berlaku di Syria, Libya, Tunisia dan beberapa buah negara Islam yang lain. Ini kerana, negara-negara berkenaan masih berada di dalam zon perang dan tidak stabil dari segi politik dan sekaligus bakal melemahkan usaha Turki dan Erdogan menjadikan suara OIC sebagai suara yang cukup dominan dalam dunia Islam.

Malaysia pernah mengalami masalah ini dan sudah semestinya pengalaman Malaysia sebagai bekas Pengerusi OIC sebelum ini amat dituntut oleh Erdogan dan Turki dalam menangani pelbagai masalah dalaman yang melanda OIC sejak sekian lama.

Justeru, harapan penduduk Palestin untuk melihat OIC keluar sebagai sang singa dalam menentang keputusan Trump ini, agak sedikit samar. Namun begitu, untuk berlaku adil, Erdogan bukan sebarang pemimpin dunia Islam walaupun Turki sendiri mengamalkan pentadbiran Sekular, bukannya pentadbiran Islam sepenuhnya.

Dalam banyak krisis, Erdogan mampu tampil sebagai jaguh untuk meredakan keadaan seperti mana yang beliau lakukan untuk melenyapkan penentangan puak Kurdish di Selatan negara berkenaan. Malah, pendirian tegasnya dalam hak-hak umat Islam samada di Turki, Eropah dan Dunia, cukup dikenali dan cukup disegani oleh banyak negara luar.

Walaupun kelihatannya agak samar disebabkan pertelagahan dalaman antara negara-negara Islam, namun harapan masih ada untuk melihat Erdogan memimpin OIC keluar dari sebuah pertubuhan yang lesu. Pastinya, Erdogan akan menggunakan a jua pengaruh yang beliau ada untuk memastikan semua pihak mampu duduk di meja rundingan dan mencapai satu keputusan yang kukuh bagi menetang keputusan yang diambil oleh Trump dan meragut kegembiraan Benjamin Netanyahu dan juga Israel.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*