Pemuda UMNO NS Lancar Tabung Bantu Amsyar

Share This:

Pemuda UMNO Negeri Sembilan hari ini melancarkan tabung kutipan dana untuk seorang bayi lelaki berusia 13 bulan yang menderita saluran pundi hempedu tersumbat dan kegagalan fungsi hati, bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata bayi berkenaan, Muhammad Amsyar Muhammad Illyas memerlukan kos sebanyak RM350,000 untuk melakukan pembedahan pemindahan hati dengan segera di Shanghai, China.

Dana yang terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM128,000 termasuk daripada sumbangan UMNO Negeri Sembilan dan kerajaan Negeri Sembilan serta sumbangan peribadi beliau, kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan.

“Kita hanya ada masa sebulan sahaja lagi kerana adik (Muhammad) Amsyar telah pun mendapat tarikh untuk dibedah iaitu antara 15 hingga 20 Januari tahun depan. Saya haraplah masyarakat di negara ini boleh bantu menyumbang,” kata Menteri Belia dan Sukan itu kepada pemberita selepas melancarkan tabung berkenaan di sini.

Ibu Muhammad Amsyar, Norazlinah Abdul Aziz, 35, berkata anak bongsunya daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit tersebut selepas dua minggu dilahirkan.

“Dengan bantuan UMNO ini, insya-Allah dana akan dapat dicukupkan kerana kalau tidak dibedah ia akan memberi risiko kepada nyawa anak saya,” kata ibu tunggal yang tidak bekerja dan menetap di Senaling, Negeri Sembilan itu.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Norazlinah di talian 010-4007839 atau menerusi akaun Maybank 505028613765.

– BERNAMA

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*