#PAU 2017 : Pertimbang Semula Inisiatif Kerajaan, Tangani Kos Sara Hidup

Share This:

 

Dalam majlis Perhimpunan Agung UMNO ke-71 ini,Ketua Pemuda UMNO Johor Datuk Hahasrin Hashim kali ini membahaskan Usul Ekonomi sebagai wakil UMNO Negeri Johor.

 

Dalam membentangkan usul ekonomi, Johor tidak menafikan wujudnya cabaran milenia dan juga mengatakan kos sara hidup antara isu utama yang perlu dibahaskan yang juga berkait rapat dengan kesejahteraan dan kualiti hidup.

 

“Johor sedar cabaran kos sara hidup dan ada sesetengahnya di luar bidang kuasa kerajaan. Contohnya, kenaikan harga barang dan komoditi banyak dipengaruhi keadaan pasaran global ataupun faktor yang disebut Adam Smith sebagai ‘the invisible hand’.

 

“Namun, ini bukan lesen atau alasan bagi parti dan kerajaan untuk tidak memikirkan intervensi yang berkesan,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

 

Hahasrin berkata, kerajaan perlu menilai semula kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan tidak fokus kepada aras tangga gaji semata-mata serta mempertimbangkan petunjuk lain yang lebih holistik dan praktikal seperti masalah miskin bandar.

 

“Persepsi BR1M sebagai bantuan untuk golongan miskin semata-mata tidak benar dan mesti segera diubah kerana golongan ini sudah kita santuni dengan pelbagai program dan skim lain termasuk zakat,” katanya.

 

Hahasrin turut memuji BR1M sebagai antara intervensi yang baik kepada rakyat yang ada pekerjaan dan pendapatan tetapi tidak berupaya menikmati kehidupan berkualiti sekiranya tidak dibantu.

 

Katanya, negara di Eropah turut melaksanakan intervensi sama seperti BR1M seperti di United Kingdom yang membabitkan elaun penganggur, manfaat untuk anak dan manfaat cukai pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Sementara itu, Hahasrin berkata kerajaan juga perlu mempersiapkan milenia Melayu untuk meningkatkan taraf hidup selaras teknologi semasa sebagai agenda utama ekonomi Melayu.

“Anak bangsa kita harus diingatkan bahawa dunia berubah jauh lebih drastik dan pantas dari apa yang kita jangkakan,” katanya.

 

Dalam pada itu, usul ekonomi yang dicadangkan oleh wakil Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan disokong wakil Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi, diterima sebulat suara.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*