#PAU2017 : Zahid Ingatkan Jangan Cari ‘Personal Glory’ Dalam Parti

Share This:

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin dan ahli UMNO menjauhi sikap mencari kemenangan untuk diri sendiri atau ‘personal glory’ dalam perjuangan parti tetapi berjuang untuk kejayaan.

Bercakap ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung tiga sayap parti Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO malam tadi, Ahmad Zahid memilih tema Lembayung Arjana Bangsa untuk disampaikan kepada para perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut beliau, UMNO bergerak sebagai satu pasukan yang mantap bukannya berlandaskan perjuangan individu.

“Jauhilah sikap buruk seperti mencari “Personal Glory”. Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai suatu pasukan yang mantap.

“Seperti mana analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada jadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas!,” kata Ahmad Zahid.

Untuk itu, beliau mengajak dengan tegas untuk semua perwakilan menerima keputusan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ahmad Zahid berkata, beliau akui bahawa aura kepimpinan yang paling sukar ditemui ialah ‘likeable’ kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon, pasti akan ada yang cemburu pada calon berkenaan.

“Saya mengajak seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO agar akur dengan keputusan Datuk Seri Presiden dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih nanti.

“Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Datuk Seri Presiden parti.

“Kita perlu menghayati konsep “jiwa jama’ie”. Belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan.,” katanya yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Mengakhiri ucapannya di hadapan 2,978 anggota perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu bagi membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*