Tidak Mungkin Penaja Mahu Tarik Diri Kerana Saya-TMJ

Share This:

 

 

Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikatakan menegaskan setiap usaha dan sumbangan ke arah pembangunan bola sepak negara perlu diteruskan meskipun beliau tidak lagi menyandang jawatan itu pada masa depan.

 

 

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ),adalah tidak wajar tindakan penaja yang mahu menarik diri sekiranya beliau tidak lagi menduduki kerusi nombor satu badan induk itu adalah tidak wajar.

 

 

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada hasrat Pengerusi Ampersand Sports Sdn Bhd., Tan Sri Vincent Lee untuk menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia seandainya TMJ melepaskan jawatannya.

 

“Saya tidak bersetuju jika saya tiada maka penaja mahu menarik diri.Tetapi semua penaja perlu faham iaitu penajaan kepada bola sepak negara adalah demi kepentingan nasional,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM di sini hari ini.

 

Menurut sumber,Vincent berkata pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) adalah kerana yakin dengan kredibiliti dan visi TMJ yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.

 

Sementara itu, Tunku Ismail berpendapat kejayaan untuk mengangkat semula martabat bola sepak negara hanya akan dikecapi sekiranya semua pihak bersedia untuk bersatu menggembleng tenaga dan usaha.

 

“Jika kita bersatu dan ada perpaduan, Insya-Allah kita dapat mencapai sasaran kita. Tetapi jika kita berpecah dan suka bergaduh antara satu sama lain, bola sepak negara tidak akan ke mana. Percayalah jika kita ada perpaduan dan bersatu, banyak perkara yang akan kita capai,” katanya.

 

“Apa yang kita cuba lakukan sekarang adalah memberikan semula sukan bola sepak kepada rakyat. Tiada sifat kroni dan tiada kepentingan diri sendiri. Saya tidak mahu FAM mengambil satu sen pun tetapi memberikan kesemua hak penyiaran kepada seluruh pasukan yang bertanding,” katanya.

 

Pada masa sama, Tunku Ismail dikatakan memberi jaminan FAM di bawah kepimpinannya bersedia memberikan yang terbaik dalam mengangkat semula maruah bola sepak negara.

 

 

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*