RCI Skandal Forex Cadang Polis Siasat Anwar Dan Mahathir

Share This:

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian dagangan urus niaga mata wang asing (Forex) sekitar 90-an ada membuat cadangan satu siasatan rasmi dijalankan untuk melihat jika ada berlaku jenayah pecah amanah atau penipuan.

Siasatan itu akan melihat sama ada wujud unsur berkenaan dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam kerugian itu iaitu Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan pada ketika itu, Anwar Ibrahim.

Dalam laporan itu, jumlah kerugian untuk tiga tahun iaitu 1992, 1993 dan 1994 adalah sebanyak RM31.5 bilion. RCI mengesyorkan pihak polis menyiasat Anwar dan Mahathir.

Laporan yang bertajuk ‘Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990-an” juga mencadangkan polis menyiasat Ahli Lembaga Pengarhah Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan pada ketika itu.

“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri, terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah dan atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam menjalankan urusniaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu.

Bukan itu sahaja, Anwar juga dalam laporan itu didapati tidak bertanggungjawab dengan mengelirukan Kabinet dan Parlimen mengenai kerugian sebenar tukaran wang asing yang ditanggung BNM.

Berdasarkan kebertanggungjawaban Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu, Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an mencadangkan satu siasatan dibuat bagi mengesahkan kesalahan Anwar menyembunyikan kerugian sebenar tukaran wang asing BNM mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan.

Laporan itu mendedahkan, Anwar membuat keputusan berkenaan pengolahan perakaunan bagi untung rugi, jual beli saham dan pengeluaran surat jaminan bagi membolehkan Ketua Audit Negara mengeluarkan sijil audit bersih bagi Laporan Tahunan BNM 1993.

Menurut laporan itu, dengan mengemukakan laporan tahunan kepada Kabinet dan tidak mendedahkan perihal sebenar, Anwar dengan sengaja menyebabkan Kabinet meluluskan Laporan Tahunan 1993 untuk diwartakan dan dikemukakan kepada Parlimen.

“Pemberian gambaran yang salah ini meliputi memaklumkan kepada Kabinet pada 6 April 1994 terdapat ‘kerugian atas kertas RM9 bilion dalam tahun 1992’. Sungguhpun beliau mengetahui kerugian sebenar urus niaga forex pada 1992 adalah RM12.353 bilion seperti tercatat dalam surat Tan Sri Ishak Tadin kepada beliau.

“Kabinet mengambil maklum bahawa BNM sepatutnya boleh dipuji kerana berjaya mengurangkan kerugian dalam urus niaga pertukaran mata wang asing daripada RM9 bilion kepada RM5.7 bilion.

“Adakah Kabinet akan meluluskan Laporan Tahunan itu jika tidak dikelirukan adalah menjadi persoalan fakta yang perlu disiasat seterusnya. Terdapat keperluan bagi siasatan lanjut sama ada ‘penipuan’ itu menyebabkan atau besar kemungkinan menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada sesiapa sahaja dari segi tubuh, minda, reputasi atau harta,” menurut laporan itu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*