Cukai Lebih Tinggi Jika Lupus Hartanah Kurang 5 tahun

Share This:

Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) adalah cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah (rumah pangsa, rumah, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain). Mulai 21 Oktober 1988, cukai ini diperluaskan ke atas keuntungan daripada pelupusan syer dalam Syarikat Harta Tanah.

Menerusi Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2007 [P.U. (A) 146/2007] Menteri Kewangan telah mengecualikan mana-mana orang daripada semua peruntukan Akta CKHT 1976 bagi pelupusan aset selepas 31 Mac 2007. Perintah pengecualian tersebut telah dibatalkan mulai 01 Januari 2010 melalui Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2009 [P.U. (A) 376/2009]. Ini bermakna pelupusan apa-apa aset yang boleh dikenakan cukai mulai 01 April 2007 sehingga 31 Disember 2009 adalah dikecualikan daripada CKHT.

Menteri mengecualikan mana-mana orang daripada pemakaian Jadual 5 Akta bagi pembayaran cukai ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai berkenaan dengan pelupusan apa-apa aset yang boleh dikenakan cukai pada atau selepas 1 Januari 2010 jika pelupusan itu dibuat selepas lima tahun dari tarikh pemerolehan aset yang boleh dikenakan cukai.

Jika pelupusan aset yang boleh dikenakan cukai dibuat dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pemerolehan aset yang boleh dikenakan cukai. Pengiraan dan pengecualian cukai adalah dinyatakan seperti formula di bawah:

(A/B)X C

A ialah amaun cukai yang dikenakan di atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai ke atas orang itu mengikut kadar cukai yang berkenaan yang dikurangkan sebanyak amaun cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu pada kadar lima peratus;

B ialah amaun cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu mengikut kadar cukai yang berkenaan;

C ialah amaun keuntungan yang boleh dikenakan cukai itu.

Contoh:
ZZ Sdn Bhd membeli rumah kedai pada 24.02.2007 dengan harga RM240,000 dan menjual rumah kedai tersebut pada 04.02.2010 pada harga RM300,000. Tempoh pegangan harta tanah adalah 3 tahun, maka pelupusan tersebut tertakluk kepada kadar cukai 20%. Pendapatan yang dikenakan cukai dengan menggunakan formula di atas adalah seperti di bawah:

RM
Nilai balasan 300,000

Tolak: Harga perolehan 240,000

Keuntungan daripada pelupusan: 60,000

Keuntungan yang dikecualikan:
[(60,000 x 20%) – ( 60,000 x 5%)] / (60,000 x 20%) X 60,000 = 45,000

Keuntungan yang boleh dikenakan cukai berpandukan jadual kadar CHKT:
(60,000-45,000) = 15,000

Cukai yang dikenakan bagi pelupusan pada tahun ke 3: 15,000 x 30% = 4,500

Oleh kerana pelupusan dilakukan dalam tahun ketiga, pembeli atau pelupus dikehendaki meremitkan 3% daripada harga balasan atau kesemua wang balasan (yang mana lebih rendah) kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pemerolehan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*