#PAU2017 Tampilkan Pembaharuan Tonjol Pencapaian UMNO

Share This:

Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang akan berlangsung bermula 5 Dis depan akan menampilkan pelbagai pembaharuan termasuklah memperlihatkan pencapaian-pencapaian yang telah dilakukan UMNO selama ini serta semangat ahli bagi berhadapan pilihanraya umum ke 14.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembaharuan yang dilaksanakan adalah mengikut garis panduan RoS dan UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai struktur yang tersendiri dengan sentiasa akur kepada undang-undang.

“Kita akur kepada apa kehendak RoS kerana UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa patuh kepada undang-undang. Kita bukan seperti parti serpihan yang baru ditubuhkan, mempunyai pelbagai masalah dengan RoS. Begitu juga parti lain yang ada masalah dengan agensi berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, Seramai 5,739 perwakilan termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri dijangka akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan, di Putra World Trade Centre (PWTC).

“Pelbagai pembaharuan yang akan kita laksanakan pada perhimpunan agung UMNO kali ini antaranya penggunaan kertas yang tidak lagi seperti tahun-tahun sebelum ini. Sebagai contoh sidang media hari ini kita tidak lagi menyediakan kit media seperti kebiasaan sebaliknya pengamal media boleh mendapatkan maklumat segala perjalanan PAU 2017 menerusi laman web rasmi parti, www.umno-online.my.

“Begitu juga untuk para perwakilan yang mana mereka tidak lagi lagi menerima penyata persidangan sebaliknya akan diberikan kepada Ketua serta Setiausaha UMNO bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi sahaja.

“Kita juga memperkenalkan penggunaan Radio Frequency Identification (RFID) untuk para perwakilan yang akan memasuki dewan-dewan persidangan selain laman media juga turut diubahsuai dengan ditempatkan di aras 4 bagi memudahkan para petugas media. Tidak lagi seperti tahun-tahun yang lalu.

“Selain itu, pelbagai pameran juga akan diadakan sepanjang perhimpunan di sekitar PWTC agar mereka yang hadir dapat melihat apa pencapaian-pencapaian yang kita telah dapat dan dilaksanakan sejak UMNO ditubuhkan hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini. Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan ketiga-tiga Penolong Setiausaha sayap parti, Datuk Rosni Sohar, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, Datuk Fahariyah Nordin serta Ketua Setiausaha Bahagian Ibu Pejabat UMNO, Datuk Norazuwan Aziz.

Tengku Adnan seterusnya memaklumkan bahawa perhimpunan pada kali ini dijangka menjurus ke arah pilihan raya umum ke-14 termasuklah ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, segala persiapan menjelangnya PAU 2017 berjalan lancar dan raptai penuh perhimpunan akan di adakan pada Ahad ini, 3 Disember.

Seterusnya kata beliau lagi majlis Taklimat Presiden akan berlangsung pada 5 Disember (tertutup) dan seterusnya perasmian perhimpunan sayap oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah malam dan pada 6 Disember akan berlangsung perhimpunan ketiga-tiga sayap dan Perhimpunan Agung UMNO akan bermula pada 7 hingga 9 Disember.

“Seramai 63 peserta daripada 17 buah parti politik dari 14 buah negara di peringkat antarabangsa telah mengesahkan kehadiran masing-masing dan begitu juga 51 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara.

“Dan seramai 350 mahasiswa daripada 20 universiti awam dan 50 universiti swasta akan terlibat dalam PAU 2017 atas nama Mahasiswa Nasional (PEMANAS) dan Mahasiswa Turun Padang (MANTAP) pula seramai 60 orang akan turut terlibat sebagai sukarelawan.

“Manakala sebanyak 75 agensi media melibatkan media cetak dan media elektronik membabitkan 61 agensi tempatan dan 14 agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 1,795 petugas media telah berdaftar ke PAU 2017,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*