Golongan Muda India Bersatu Dalam Semangat Muhibah Dalam Dialog TN50

Share This:

Satu semangat muhibah tercipta dalam kalangan golongan muda kaum India apabila mereka bersama-sama menyertai satu program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketua Putera MIC Bahagian Rasah, Dineshwaran T Rajagopalu di laman Facebooknya berkata, TN50 merupakan satu inisiatif oleh kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas untuk memperkasakan ekonomi dan pembangunan sosial setiap rakyat Malaysia dari segenap lapisan.

“Hari ini (semalam), bersama dengan saudara Ranes Subramaniam dengan bimbingan Datuk Seri Ramesh Rao kami berjaya menghimpunkan seramai 150 orang belia dari kaum India untuk sesi dialog berkenaan dengan Kementerian Pertanian.

“Para peserta hadir dari pelbagai agama dari kaum India iaitu dari yang beragama Hindu, India Muslim dan Sikh tanpa mengira apa pun faham politik,” kata Dineshwaran.

Beliau yang juga Penasihat Putera MIC Bahagian Teluk Kemang berkata, program berkenaan dibuka kepada 150 orang pertama orang muda india dari Kuala Lumpur dan Selangor ketika sesi pendaftaran.

“Kami menerima jumlah mereka yang berminat menyertai yang amat memberangsangkan dan pendaftaran sudah pun penuh hanya dalam masa empat hari ia dibuka,” katanya.

Ketika sesi dialog berkenaan, Dineshwaran memaklumkan ramai golongan muda India yang terlibat dalam pelbagai jenis pertanian berbeza diperkenalkan seperti terkenakan, tenusu serta perniagaan import eksport daging.

Menurutnya, para peserta dialog begitu proaktif dan memberikan banyak input positif dalam aspirasi mereka dengan memberikan cadangan yang baik untuk dilaksanaka tahun depan oleh pihak kementerian selaras dengan sasaran TN50.

Dineshwaran berkata, program dialog berkenaan yang terbukti berjaya akan turut diadakan di lokasi lain di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

“Saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Timbalan Pengarah (Operasi) Dato’ Jamal Harizan bin Yang Razali yang merangkap Ketua Pegawai Penerangan Kementerian kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk menganjurkan program ini,” ujar Dineshwaran.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mencetuskan idea yang hebat untuk membolehkan rakyat melibatkan diri untuk memberi idea dan cadangan supaya TN50 menjadi realiti.

“Saya amat berharap, setiap kementerian boleh menganjurkan program yang menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) ialah sebuah kerajaan yang berusaha untuk mendengar pendapat serta keinginan rakyat untuk merangka langkah serta program yang bakal memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Dineshwaran.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*