Empat Minit Pasangan Sah Bergelar Suami Isteri

Share This:

 

Dalam islam sebenarnya perkahwinan itu sangat mudah,namun ramai pasangan muda yang ingin mendirikan masjid berasa tertekan memikirkan kos perbelanjaan perkahwinan yang besar untuk melangsungkan majlis resepsi.

 

Tambah merisaukan lagi apabila ramai pasangan pengantin masa kini seolah-olah berlumba untuk mengadakan majlis resepsi yang gah sehingga menjadi ikutan dalam masyarakat terutamanya bagi mereka yang berkemampuan.

 

Ada juga dikatakan yang sanggup membuat pinjaman peribadi demi sebuah majlis perkahwinan yang diimpi-impikan tanpa memikirkan bebanan yang akan ditanggung di kemudian hari.

 

Namun, lain kisahnya dengan pasangan dari Malaysia ini yang bernikah di Pusat Buku Islam di Seoul, Korea Selatan, dengan hanya memakai pakaian musim sejuk, hantaran sebentuk cincin dan wang mahar 200,000 Won Korea (RM756).

 

Video perkahwinan mereka yang ringkas, hanya berdurasi hampir empat minit tular di Facebook dan setakat ini dikatakan telah ditonton lebih 137,000 kali.

 

Menurut sumber,saksi pernikahan tersebut, yang bernama Mohd Zulhilmi Abd Karim, 29, itu berkata, upacara akad nikah ringkas di Korea Selatan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ramai pasangan Muslim dari pelbagai negara di sana memilih untuk bernikah di Pusat Buku Islam berkenaan kerana kosnya adalah percuma.

 

Selain itu, dakwa Mohd Zulhilmi, kebiasaannya para pasangan hanya memakai pakaian biasa biarpun pada hari bahagia mereka.

 

Dakwa Mohd Zulhilmi, ada juga pasangan yang memilih untuk bernikah di Majlis Pusat Seoul, namun bayaran sebanyak 340,000 Won Korea (RM1,285) akan dikenakan kepada mereka.

 

“Kalau di sini memang biasa kahwin begitu asalkan urusan jadi mudah dan saya sering dipanggil untuk menjadi saksi apabila ada pasangan ingin melangsungkan pernikahan.

 

“Saya tidak sangka video itu tular, mungkin sebab ini kali pertama saya memuat naik video sebegitu,” katanya yang sudah 11 kali menjadi saksi di Pusat Buku Islam.

 

Pasangan pengantin yang videonya tular, Abdul Fakkar Maudidi Safi, 27, dan Khadijah Salamah Ibrahim, 30, dinikahkan oleh kadi Sheikh Muneer Ahmad yang berasal dari Kashmir, India.

 

 

Jelas Mohd Zulhilmi, kadi tersebut akan menghubungi wali pengantin wanita terlebih dahulu untuk mendapatkan kebenaran bagi menikahkan pasangan mempelai dan memastikan pengantin lelaki berkemampuan dari segi kewangan selain dapat menyediakan cincin dan wang mahar untuk majlis ringkas tersebut.

 

Tambah aktivis bebas itu, seperti pasangan lain, setiap pasangan dari Malaysia yang bernikah di negara itu perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negara ini.

 

“Saya juga gembira dapat membantu menjadi saksi untuk mereka yang ingin mengikat ikatan yang sah,” ujarnya yang kini menetap di Korea Selatan.

 

Justeru,tidak menjadi alasan bagi mereka yang tidak cukup wang untuk menghalalkan sesuatu hubungan,melainkan perkahwinan itu dibuat secara besar-besaran dan perlu mengenakan pakaian yang mahal yang sudah menjadi ikutan pasangan masa kini.

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*