Lebih Seronok Di Manama, Prague, Madrid, Kuala Lumpur, Amsterdam

Share This:

Manama, Prague, Madrid, Kuala Lumpur dan Amsterdam. Ini adalah beberapa bandar yang harus ditinjau ekspatriat jika mereka ingin memulakan hidup dengan mudah di tempat baru dan menikmati kerja mereka, menurut Expat City Ranking tahun ini oleh InterNations, rangkaian ekspatriat terbesar di dunia.

Senarai kedudukan ini adalah berdasarkan pada data dari Expat Insider Survey tahunan, yang melibatkan sekitar 13,000 ekspatriat mewakili 166 kerakyatan di 188 negara untuk menilai lebih dari 25 aspek berbeza kehidupan bandar di luar negara pada skala satu hingga tujuh.

Penarafan responden ke atas faktor-faktor itu kemudian dikumpulkan ke dalam pelbagai kombinasi untuk sejumlah 13 subkategori, dan nilai min mereka digunakan untuk membuat empat indeks topikal: kualiti kehidupan bandar; Keselesaan untuk Menetap; Kehidupan Bekerjaya di Bandar; dan Kewangan dan Perumahan. Ini kemudian dipuratakan untuk menyusun kedudukan 51 bandar di seluruh dunia.

Bagi sebuah bandar yang dimasukkan dalam Expat City Ranking 2017, saiz sampel sekurang-kurangnya 45 peserta kajian setiap bandar diperlukan.

Secara keseluruhannya, respons yang digunakan untuk kedudukan bandar ini mewakili 7,985 ekspatriat yang tinggal di 40 negara.

Manama, ibukota Bahrain, memenangi tempat teratas kerana prestasi luar biasanya dalam hampir semua empat indeks. Ia berprestasi sangat baik untuk memulakan kehidupan, kata laporan InterNations, yang juga memetik seorang ekspatriat Filipina yang menggambarkan penduduk tempatan sebagai “sangat mesra dan ringan tulang.”

“Ekspatriat amat menghargai betapa mudahnya tinggal di bandar walaupun tanpa fasih bercakap bahasa tempatan: 92 orang responden bersetuju bahawa ini adalah sebabnya. Majoriti (59 peratus) malah menganggap bahawa ianya sangat mudah untuk menetap di Manama tanpa kemahiran bahasa Arab,” menurut laporan itu.

Perumahan di Manama lebih mudah untuk dicari dan lebih murah berbanding bandar-bandar lain, tambah laporan itu.

Kewangan juga tidak menjadi masalah, kerana kaji selidik itu menunjukkan bahawa ekspatriat di bandar itu adalah dua kali ganda lebih berkemungkinan untuk mempunyai pendapatan isi rumah tahunan lebih daripada $200,000 berbanding orang lain di seluruh dunia (11 peratus berbanding 5 peratus).

“Ini mungkin berkaitan dengan hakikat bahawa mereka juga dua kali ganda lebih berkemungkinan untuk bekerja dalam pengurusan,” menurut laporan itu.

Kehidupan bekerjaya di Manama juga menunjukkan keputusan yang secara amnya positif, dengan ekspatriat menilai tinggi bagi bandar itu dalam subkategori seperti pekerjaan dan kerjaya, dan keseimbangan kerja-hidup.

Satu-satunya indeks yang mana bandar itu tidak mempunyai prestasi yang begitu baik adalah kualiti kehidupan bandar.

Bandar-bandar lain yang tersenarai dalam 10 tangga teratas ialah: Prague, Madrid, Kuala Lumpur, Amsterdam, Barcelona, Johannesburg, Bangkok, Basel dan Frankfurt am Main.

Seperti Manama, Amsterdam, Kuala Lumpur dan Madrid berada pada kedudukan yang tinggi adalah kerana keramahan rakyat tempatan terhadap penduduk asing.

Walaupun hanya separuh daripada ekspatriat yang ditinjau di Prague berkata mereka berpuas hati dengan faktor itu, ibu negara Republik Czech masih berada di kedudukan yang tinggi kerana persekitaran kerjanya – hampir 70 peratus daripada ekspatriat berkata mereka berpuas hati dengan peluang kerjaya tempatan.

Prague juga dipuji oleh responden kerana kualiti kehidupan bandar, khususnya pilihan pengangkutannya, menurut laporan itu.

Responden juga memberikan markah melebihi purta untuk pilihan aktiviti masa lapang, keselamatan, dan kemampuan untuk penjagaan kesihatan di bandar itu.

Laporan itu juga menumpukan terhadap bandar-bandar yang berada di bahagian bawah senarai.

Di tempat terakhir ialah Lagos, Nigeria, kerana hampir tiga perempat daripada ekspatriat di sana memberikan penilaian negatif kepada keadaan ekonomi tempatan, dan lebih separuh mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan keselamatan peribadi mereka.

Kedua terakhir adalah Jeddah di Arab Saudi kerana kualiti kehidupan yang rendah, serta kehidupan bekerjaya yang teruk.

Tempat ketiga terakhir ialah Paris, kerana responden melaporkan kesukaran untuk memulakan kehidupan di bandar – lebih 40 peratus berkata penduduk tempatan tidak ramah terhadap penduduk asing, dan lebih kurang sepertiga mengatakan sukar untuk tinggal di ibu negara Perancis tanpa mempelajari bahasa tempatan.

“Selain daripada sambutan yang dingin, sukar bagi kebanyakan ekspatriat untuk mencari dan memiliki perumahan di Paris: 62 dan 71 peratus masing-masing, memberikan faktor-faktor ini penarafan negatif. Lebih satu per tiga (34 peratus) juga tidak berpuas hati dengan keadaan kewangan secara umum,” menurut laporan itu.

Ini adalah tahun keempat bagi Expat Insider Survey, yang dijalankan oleh InterNations, yang mempunyai hampir tiga juta ahli di 390 bandaraya.

Selain daripada menjadi rangkaian ekspatriat global terbesar di dunia, ia juga menawarkan melalui laman web InterNations.org panduan bandar dan negara, serta forum perbincangan untuk membantu penduduk asing dalam hal-hal seperti pencarian perumahan atau pekerjaan tempatan.

Keahliannya hanya dengan kelulusan sahaja.

– Inquirer net

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*