Kerajaan Akan Tambah Khidmat BAS CTC Bergerak – PM Najib

Share This:

Kerajaan memaklumkan bas yang digunakan untuk beroperasi melalui Pusat Transformasi Komuniti (CTC) akan ditambah bagi memudahkan masyarakat pedalaman menggunakan perkhidmatan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penambahan bas tersebut akan memberi impak yang positif sekaligus mampu menjimatkan perbelanjaan rakyat.

“Masyarakat luar bandar menerima baik usaha ini kerana mereka tidak lagi perlu ke bandar untuk membeli barang, sebaliknya kita menggunakan bas yang diubah suai sebagai kedai bergerak.

“Oleh itu, saya minta CTC bergerak ini ditambah untuk beri perkhidmatan lebih baik kepada mereka (masyarakat luar bandar),” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol di Dewan Rakyat, Isnin.

Terdahulu, Juslie meminta kerajaan menjelaskan tentang langkah dalam merangka program berimpak tinggi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang bakal dilaksanakan untuk penduduk kawasan luar bandar.

Najib dalam masa yang sama turut berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) adalah contoh terbaik NBOS kerana menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu pusat sehenti.

“Inisiatif UTC sangat unik memandangkan ia beroperasi menjangkau waktu operasi biasa, iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, setiap hari termasuk hujung minggu.

“Berdasarkan perangkaan diterima, UTC setakat ini sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 54 juta pengunjung sejak ia diwujudkan pada 2013,” katanya.

Sebelum ini Najib menjelaskan Pelaksanaan NBOS mencatatkan kejayaan luar biasa dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan perbelanjaan yang optimum.

Katanya, NBOS yang menghimpunkan lebih 80 agensi kerajaan juga bermatlamat sebagai pemecah dinding antara kementerian, jabatan dan agensi yang lazimnya mengamalkan perkhidmatan secara berasingan.

Permuafakatan pelbagai agensi ini, menurut Najib, membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik yang menekankan tiga elemen utama iaitu berimpak tinggi, dilaksanakan dengan pantas dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*