Penjelajahan Terakhir Muqharabbin Dilancar

Share This:

Kira-kira 10 tahun yang lalu, seorang anak muda, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin telah memulakan ekspedisinya untuk menjelajah 7 puncak tertinggi di dunia. Halangannya bukan alang kepalang. Namun, bagi membuktikan kemampuan anak Malaysia mampu menempuh apa jua halangan dan keinginan kuatnya untuk mengharumkan nama negara dalam sukan ekstrim dunia, beliau gagah menempuh apa jua halangan.

Satu per satu 7 puncak tertinggi di dunia di daki. Kesemua tujuh puncak berkenaan, Gunung Everest, benua Asia (8,488 meter), Puncak Jaya, benua Oceania (4,884 meter), Vinson Massif, benua Antartika (4,982 meter), Aconcagua, benua Amerika Selatan (6.960.8 meter), Gunung McKinley, benua Amerika Utara (6.194 meter), Gunung Elbrus, benua Eropah (5.642 meter) dan Gunung Kilimanjaro, benua Afrika (5.895 meter) seuanya sudah beliau tawan.

Selain daripada menawan 7 puncak tertinggi di setiap benua, beliau juga telah berjaya menawan Kutub Utara di mana beliau menghabiskan 11 hari untuk menamatkan perjalanan penuh mencabar sejauh 111 kilometer pada April lalu. Terbaru, beliau akan menamatkan ekspedisi terakhirnya di Kutub Selatan bagi melayakkannya menjadi rakyat Malaysia pertama yang memegang gelaran “Grand Slam” dalam sukan lasak.

Untuk rekod, untuk melayakkan seseorang itu memegang status Grand Slam, seseorang itu harus menawan 7 puncak tertinggi di setiap benua selain daripada menawan Kutub Utara dan Kutub Selatan. Di Malaysia, beliau adalah individu yang pertama yang melakukannya. Di peringkat Asia Tenggara, beliau adalah individu kedua dan beliau juga adalah umat Islam ketiga yang mampu melakukan perjalanan ekstrim ini.

Untuk menggapai impian ini, satu majlis perlancaran telah berlangsung hari ini di Putrajaya yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mokhles, Muqharrabin dan beberapa tetamu jemputan yang lain.

Ketika menyampaikan ucapan sebentar tadi, Datuk Akmar Hisham mengimbas semula perjalanan sukar yang ditempuhi oleh Muqharrabin dalam menggapai impian menjadi anak Malaysia pertama berjaya menawan ketujuh-tujuh puncak tertinggi di setiap benua.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan seperti penajaan dan sebagainya, namun, atas semangat yang cukup kental, beliau telah berjaya menamatkan 8 daripada 9 pencapaian tertinggi dalam sukan ekstrim dunia. Malah, Datuk Akmar mendedahkan, sehingga hari ini, seramai 24 orang telah berjaya tiba ke puncak Gunung Everest hasil daripada komitmen yang ada di dalam KE7B.

Bagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pula, beliau berharap, apa yang dilakukan oleh Muqharrabin ini mampu menjadi inspirasi buat generasi muda terutamanya generasi TN50. Ujarnya, semangat yang ada di dalam diri Muqharrabin, wajar dijadikan contoh dan tauladan yang terbaik buat generasi TN50 dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan negara.

Dalam ucapan yang sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sumbangan sebanyak RM 100 ribu untuk ekspedisi ini. Malah, beliau turut mahu satu pengiktirafan wajar diberikan kepada Muqharrabin atas pencapaian hebatnya ini. Disamping itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di jangka akan menyambut kepulangan Muqharrabin sebaik sahaja beliau menamatkan ekspedisi ini kelak.

Mengikut perancangan, Qobin akan berlepas ke Punta Arenas, Chile pada 15 Disember ini manakala ekspedisi sebenar bermula pada 19 Disember dan dijangka berakhir 27 Disember, mengambil masa sembilan hari dan memakan jarak sejauh 110 Kilometer.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*