Buatlah Mesyuarat Cawangan Dulu, Usah Sibuk Salahkan ROS

Share This:

Pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir kini dalam keadaan terdesak. Pendaftaran PH untuk menjadi satu gabungan masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Meskipun ia adalah masalah dalaman sendiri, namun Mahathir mengambil pendekatan untuk menyalahkan pihak lain. Mula-mula beliau menyalahkan ROS, kemudian menuding jari kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kini beliau menyalahkan pula Datuk Seri Najib Tun Razak, kononnya Perdana Menteri hanya mendiamkan diri sahaja apabila berdepan dengan tuntutan hak parti lawan.

Sekiranya semua tuntutan yang diminta oleh ROS dipenuhi, sudah pasti pihak berkuasa tiada masalah untuk menolaknya namun apa yang berlaku adalah disebabkan isu dalaman PPBM dan DAP yang masih belum diselesaikan.

PPBM berdepan masalah atas tiga kesalahan yang dilakukannya iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

Manakala dalam isu DAP pula, parti itu berdepan dengan kemelut pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang tidak sah sebelum ini dan perlu mengadakan semula pemilihan CEC baru.

Selepas mengadakan pemilihan semula CEC, parti tersebut masih belum menghantar laporan kepada ROS untuk pengesahan rasmi.

Dan baru-baru ini, pemilihan DAP itu didakwa mempunyai unsur meragukan apabila bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G Asoghan, berkata ada perwakilan tidak berpuas hati dengan pengendalian proses itu oleh firma audit antarabangsa, Grant Thornton.

Beliau mendakwa, ketika pengiraan kertas undi, tiada sebarang wakil atau ejen dibenarkan masuk melihat proses berkenaan, sekali gus memungkinkan tipu helah berlaku sekali lagi.

“Ketika proses pengundian, ada wakil tanya di mana tempat kiraan undi. Pemerhati yang dilantik DAP menyatakan mereka membuat pengiraan di sebuah bilik, namun tiada sesiapa pun dibenarkan masuk,” katanya.

Dengan isu-isu yang berbangkit itu, jelas menunjukkan bahawa PPBM dan DAP masih belum menyelesaikan masalah dalaman mereka, jadi bagaimana pendaftaran PH sebagai satu parti gabungan dapat dijalankan.

Sesiapa sahaja yang waras tahu mengenainya, jadi kenapa nak salahkan ROS, Zahid dan Najib? Tulisan terbaru Mahathir di blog Che det adalah tidak masuk akal sama sekali.

Dulu Mahathir jawab tidak tahu berkenaan isu kerugian RM30 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga matawang asing, kini beliau menyalahkan orang lain pula apabila PH masih belum diluluskan pendaftarannya.

Mahathir sudah terdesak kerana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan diadakan pada bila-bila masa. Beliau bimbang jika pembangkang tidak bergabung dengan segera maka sukar untuk pembangkang memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional.

Jika mahu bertanding atas tiket Pakatan Harapan, sepatutnya semua isu diselesaikan terlebih dahulu dalam parti masing-masing.

Isu dalam parti pun tidak mampu diselesaikan, ada hati nak memerintah negara. Langsung tidak profesional pembangkang di Malaysia ini.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*