Kerajaan Tegas Bendung Penyebaran Fahaman Ateis

Share This:

Kerajaan sentiasa tegas untuk menghalang penyebaran fahaman ateis atau tidak beragama yang sekarang disebarkan secara terbuka kepada umat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan serta Majlis Agama Islam Negeri serta polis telah diwujudkan untuk memastikan ia tidak berkembang menjadi lebih teruk.

“Penyelarasan maklumat dan tindakan badan ini diselaraskan melalui Mesyuarat Pemandu Menangani Ancaman Akidah Peringkat Kebangsaan (JAPAS).

“Kesalahan berkaitan akidah dan kesucian Islam telah diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri, selaras dengan ketetapan di bawah Butiran 1 Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Asyraf menjawab soalan Ahli Parlimen PAN-Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sejauh mana fahaman ateis sudah berkembang dalam negaran dan langkah menyeluruh kerajaan bagi menyekat golongan fahaman itu.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Siti Mariah, Asyraf berkata, Jakim dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat laporan rasmi kepada syarikat Facebook, namun laporan tersebut mendapat jawapan yang dikehendaki kerajaan.

“Facebook memberi maklum balas kepada kami dengan mengatakan bahawa (penyebaran fahaman atheis) tidak melanggar apa-apa polisi mereka,” katanya.

Menurutnya, fahaman atheis jelas melanggar Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

Ujarnya lagi, selain Islam, atheis juga turut memberi ancaman kepada penganut agama lain kerana golongan ini mahu individu yang mempunyai agama supaya tidak mempercaya agama mereka.

“Kita harus faham, dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa (semua rakyat Malaysia) bebas beragama. Jadi, menyebarkan fahaman tidak beragama jelas melanggar perlembagaan negara

“Mereka yang menyebarkan fahaman ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948,” tegasnya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*