Malaysia Dan Indonesia Setuju Untuk Bebaskan Semua Nelayan Yang Ditahan

Share This:

Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk membebaskan dengan segera semua nelayan ditahan oleh mana-mana satu negara kerana menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Kata sepakat itu dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak hari ini.

“Kami prihatin mereka ini (nelayan) orang miskin dan tidak adil kita tutup mata pencarian mereka,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama Joko selepas rundingan itu.

Najib berkata, kedua-dua pihak bersetuju nelayan-nelayan terbabit dibebaskan segera agar mereka dapat meneruskan kehidupan di tanah air masing-masing.

Beliau juga berkata rundingan kali ini mencapai kejayaan kerana banyak isu bersama yang dibincangkan dan mendapat kata sepakat, sekali gus memperlihatkan hubungan bilateral yang berada dalam keadaan sangat baik.

“Kita bersepakat dalam banyak isu termasuk politik, ekonomi, sosial dan kerjasama perbatasan dan kesediaan kedua-dua pemerintah negara menyelesaikan isu terbabit akan membuka banyak peluang bagi rakyat kedua-dua negara,” kata Najib.

Menurut beliau, tumpuan pada rundingan kali ini adalah mengenai isu sekatan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia oleh Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, Malaysia dan Indonesia bersependapat tindakan tersebut tidak adil dan tidak patut diteruskan kerana ia akan menyebabkan kira-kira 600,000 rakyat Malaysia dan 13.5 juta rakyat Indonesia terjejas punca rezeki.

Sebelum ini, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Papua New Guinea selaku negara pengeluar sawit dilaporkan akan bekerjasama menentang diskriminasi sekatan eksport minyak sawit ke negara EU.

Perdana Menteri berkata semua negara pengeluar kelapa sawit perlu mempunyai pendirian sama bagi mengatasi masalah itu, terutama menolak persepsi negatif bahawa penanaman kelapa sawit memusnahkan hutan, yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Eropah (MEP).

Perdana Menteri berkata satu perjumpaan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah diadakan bersama kepimpinan Parlimen Eropah, Pesuruhjaya EU dan Ahli Parlimen EU (MEP) bagi membincangkan isu berkenaan.

Najib berkata, kerajaan kedua-dua negara akan menghantar wakil ke Kesatuan Eropah untuk membantah tindakan tersebut.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*