Mahathir Lebih Senang Merapu Dari Menjawab Soalan

Share This:

Bertempat di Perpustakaan Komuniti di Petaling Jaya semalam, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir bersama-sama supremo Pakatan Harapan, Lim Kit Siang untuk berhadapan dengan kira-kira 100 anak muda di dalam dewan kecil berkenaan. Berkonsepkan ‘townhall’ para hadirin boleh bertanya secara terbuka apa sahaja isu pada Mahathir dan Lim Kit Siang samada dasar Pakatan Harapan ataupun kisah silam.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila kira-kira 15 orang beratur untuk menanyakan pelbagai soalan kepada Mahathir dan Lim Kit Siang. Antara yang mencuri tumpuan adalah soalan mengenai kes liwat 1 yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ops Lalang, tahanan ISA, penghapusan GST, dasar Pakatan Harapan selepas membentuk kerajaan dan lain-lain lagi.

Ramai yang menjangkakan, Mahathir akan menjawab secara terus setiap soalan yang diajukan namun begitu, dia cuma menjawab sedikit sahaja setiap soalan yang diajukan. Selebihnya, dia lebih banyak melalut dan merapu selain daripada secara berterusan menyalahkan Datuk Seri Mohd Najib dalam segala hal.

Sebagai contoh, kes melibatkan Anwar, Mahathir lebih senang menyalahkan pihak polis yang memulakan siasatan salah laku Anwar pada 1995, tiga tahun sebelum Anwar akhirnya di pecat dan di bicarakan. Malah, dia sendiri menuduh pihak polis tidak mengikut arahannya apabila bertindak memecah pintu rumah Anwar dengan membawa senjata walhal soalannya adalah, adakah dia yakin bahawa Anwar itu meliwat.

Mengenai Ops Lalang dan penahanan ISA pula, dia sekali lagi menunding jari kepada tiga orang Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tunku Abdul Rahman, Tn Abdul Razak Hussien dan Tun Hussien Onn yang didakwanya telah melakukan penahanan ISA yang jauh lebih tinggi daripada apa yang dilakukannya.

Memang benar, di zaman Tunku, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn, jumlah tahanan ISA memang agak tinggi, lebih tinggi berbanding dirinya. Tetapi pada ketika itu, negara begitu hebat menerima ancaman pengganas komunis dan lebih teruk lagi, wujud konfrontasi antara Malaysia (Malaya pada ketika itu) dengan Indonesia.

Pada ketika itu, elemen subversif seperti ini begitu cepat merebak dan untuk mengekang elemen seperti ini dari terus mengancam keselamatan negara, mereka-mereka yang didapati mempunyai hubungan dengan mereka yang mengancam keselamatan negara, ditahan tanpa dibicarakan. Malah, ketiga-tiga orang bekas Perdana Menteri ini langsung tidak mengenakan tahanan ISA kepada musuh-musuh politik mereka.

Lain pula halnya dengan Mahathir yang menjadikan akta ini sebagai kubunya. Sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat kuasanya, mereka akan ditahan di bawah Akta ISA. Apa yang menariknya, Lim Kit Siang yang hadir semalam turut mengakui bahawa dirinya adalah salah seorang daripada tahanan ISA yang disumbat oleh Mahathir. Adakah Lim Kit Siang ini boleh mengancam keselamatan negara menerusi gerakan politik bersama-sama DAP?

Menyentuh mengenai GST, Mahathir sekali lagi membuat pusingan U apabila mendakwa GST adalah satu cukai yang tidak baik untuk negara. Kali ini dia mengagungkan sistem cukai SST yang dilihat sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Dia mendakwa, adalah satu kesilapan besar buat kerajaan hari ini melaksanakan GST sedangkan sebelum ini dia sendiri mengakui akan melaksanakan sistem cukai yang sama, cuma namanya sahaja ditukar.

Sepanjang 2 jam program ini diadakan dengan pelbagai soalan diajukan kepada Mahathir dan Lim Kit Siang, kesimpulannya, ramai dikalangan anak muda tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Mahathir. Salah seorang daripada peserta, Nur Jannah yang hadir bersama-sama 3 orang rakannya memberitahu, jawapan yang diberikan Mahathir cukup mengecewakan dan langsung tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai John Woo memberitahu, dia sebenarnya cukup kecewa apabila Mahathir lebih senang menyalahkan pihak lain. Sepatutnya, Mahathir menyerlahkan kewibawaan sebenar Pakatan Harapan dan bukannya hanya tahu menunding jari kepada pihak lain.

Inilah yang berlaku apabila hati dan perasaan sudah cukup hitam dan tidak tahu lagi menilai yang mana baik dan mana buruk. Sesi bersama anak muda semalam dijadikan Mahathir sebagai modal politiknya dan dia sekali lagi mempersiakan peluang untuk mengetengahkan apa yang mampu dilakukan oleh Pakatan Harapan sekiranya memerintah kelak.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*