Mungkinkah RCI Akan Ditubuhkan Bagi Menyiasat Insiden Memali?

Share This:

Sejak akhir-akhir ini, suara ahli PAS Baling begitu kuat kedengaran yang mahu kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat insiden Memali yang berlaku kira-kira 32 tahun yang lalu. Desakan ini semakin kuat apabila beberapa orang ahli PAS berkunjung kerumah waris mangsa insiden berdarah berkenaan baru-baru ini.

Terbaru, Setiausaha PAS Kawasan Baling, Abd Nasir Idris berkata, kerajaan perlu menubuhkan RCI seperti mana pengakuan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyiasat tragedi berkenaan dan sekaligus membongkar apa yang sebenarnya yang berlaku dalam tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pihaknya masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanyakan tentang kewujudan RCI berkenaan. Katanya, PAS tidak pernah berniat untuk menjadikan penubuhan RCI ini sebagai modal politik. Sebaliknya, PAS hanya mahu menuntut keadilan kepada semua mangsa termasuk keadilan kepada empat anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu.

Melihat kepada kesungguhan PAS dalam membela dan menuntut penubuhan RCI ini, timbul persoalan, mungkinkah RCI bagi menyiasat insiden berdarah ini akhirnya akan ditubuhkan? Adakah RCI ini akan memanggil saksi-saksi penting seperti Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir sendiri bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku dalam tragedi Memali ini?

Dalam hal ini, banyak pihak pastinya akan terheret sama bagi menjawab 1001 persoalan mengenai tragedi ini. Bagi kalangan waris, pastinya mereka mengharapkan kewujudan RCI ini bagi mendapatkan keadilan buat kesemua mangsa yang terkorban. Paling utama, pastinya ramai yang ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam tragedi 1985 ini.

Beberapa bulan yang lalu, dalam program Nothing to Hide 2.0, wujud desakan yang sama untuk kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi Memali ini. Malah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata, kerajaan bersedia untuk menimbang menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja berhubung tuntutan ini.

Kini, hanya masa sahaja menentukan samada akhirnya kerajaan akur pada desakan untuk menubuhkan RCI seperti mana yang dikehendaki oleh kesemua waris mangsa tragedi Memali. Cuma perlu diingatkan bahawa, seperti mana RCI yang menyiasat kehilangan RM 32 bilion wang Forex, kita mungkin akan mendengar jawapan tidak tahu ataupun tidak pasti dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*