Hukuman Penjara 15 Tahun Terhadap Empat Remaja Lelaki

Share This:

 

 

Perbuatan kejam merogol seorang remaja perempuan secara beramai-ramai akirnya membawa padah apabila empat sekawan dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol mangsa dua tahun lepas.

 

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, 21, Mohamad Ridzuan Mohd Asri, 21, Muhammad Saiful Fauzi, 20, dan Muhammad Azlan Md Lazan, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pembelaan.

 

Seorang lagi tertuduh, yang merupakan pesalah juvana berusia 18 tahun, turut didapati bersalah, namun mahkamah menetapkan 5 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa secara berkumpulan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah tandas awam taman rekreasi di Taman Setia Tropika, Kempas, di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 30 Sept 2015.

 

Berikutan itu, pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

 

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Hussin Othman.

 

Sepanjang perbicaraan berlangsung antara Januari 2016 hingga September lepas, seramai 16 saksi pendakwaan dan pembelaan telah dipanggil.

 

Difahamkan, pegawai penyiasat kes, Inspektor Intan Maslindah Abdul Azias kini sudah menyenaraikan seorang suspek yang masih bebas dalam kejadian itu sebagai individu yang dikehendaki polis berikutan masih gagal dikesan.

 

Suspek itu hanya dikenali sebagai Nabil dan diminta untuk menyerah diri kepada polis.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*