Mahathir Di Ambang Penyingkiran?

Share This:

Sejak Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai pakatan pembangkang berkenaan bersama-sama partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dia sentiasa dijulang oleh kesemua bekas-bekas musuh politiknya sebagai seorang yang akan mengetuai gerakan menyelamatkan Malaysia. Malah, idea dan buah fikirannya sentiasa diikuti oleh hampir kesemua pemimpin Pakatan Harapan.

Namun begitu, tidak semua mampu menerima baik Mahathir. Ada juga pemimpin Pakatan Harapan yang menolak kehadiran Mahathir di dalam pakatan pembangkang berkenaan atas alasan tindakannya semasa masih menjadi Perdana Menteri yang menekan pembangkang termasuk menahan musuh politiknya di penjara ataupun ditahan di bawah ISA.

Beberapa tahun sudah berlalu dan hari ini, Mahathir secara tiba-tiba menerima tekanan yang tidak langsung dijangkakan olehnya. Memetik laporan dari sebuah portal pro pembangkang, Suara Pakatan Harapan, portal berkenaan mendedahkan sudah wujud gerakan untuk menyingkirkan Mahathir dari kerusi Pengerusi pakatan pembangkang berkenaan. Persoalannya, benarkan perkara ini berlaku?

Menurut portal berkenaan, 4 perkara utama dijadikan alasan oleh akar umbi Pakatan Harapan terutamnya dari penyokong DAP, PKR dan PAN untuk menyingkirkan Mahathir. Alasan berkenaan adalah kegagalan Mahathir menguruskan PPBM sehingga berhadapan dengan kemungkinan diharamkan penubuhaannya oleh ROS dan didakwa menjadi ejen UMNO dan Datuk Seri Mohd Najib di dalam Pakatan Harapan.

Disamping itu, kelompok ini mendakwa, Mahathir gagal membawa Pakatan Harapan menjadi sebuah pakatan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional dan wujud beberapa perbezaan pendapat antara pemimpin Pakatan Harapan dengan Mahathir sendiri. Keempat-empat alasan inilah yang dijadikan modal buat ahli akar umbi untuk menolak kehadiran Mahathir di dalam Pakatan Harapan.

Sekali imbas, dakwaan mereka ini ada betulnya. Sepanjang Mahathir mengetuai PPBM, dia telah menenggelamkan individu yag sepatutnya menguruskan parti ini iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Malah, sepanjang setahun penubuhan parti ini, terlalu banyak masalah dalaman membelenggu PPBM sehinggakan lebih 6 ribu ahli bertindak meninggalkan parti.

Justeru, tidak hairanlah apabila RoS mengancam untuk mengharamkan parti ini setelah mereka gagal membuat mesyuarat agung yag pertama di samping mewujudkan sayap Armada yang sama sekali melanggar perlembagaan parti.

Untuk mendakwa Mahathir sebagai ejen khas dari Barisan Nasional dan Datuk Seri Mohd Najib adalah satu dakwaan semborono. Manakan tidak, Mahathir yang bertindak meninggalkan UMNO pada 29 Februari 2015 lalu sememangnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Datuk Seri Mohd Najib dan UMNO khasnya. Justeru, dakwaan ini agak mengarut dan hanya dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan mereka menyingkirkan Mahathir.

Namun, apa yang pasti, sepanjang Mahathir berada di dalam Pakatan Harapan, sokongan yang diterima oleh pakatan pembangkang berkenaan jelas merosot. Malah, penganjuran siri demo yang dianjurkan oleh mereka juga semakin hari semakin tidak mendapat sambutan walaupun Mahathir hadir pada setiap demo berkenaan.

Memang diakui, wujud perselisihan pendapat antara Mahathir dengan kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan terutamanya Datuk Seri Anwar dan Datin Seri Wan Azizah yang mengusai PKR. Sudah semestinya, sebagai sebuah parti utama pembangkang, kehadiran Mahathir, individu yang bertanggungjawab menyingkirkan Anwar dilihat sebagai satu beban tambahan yang boleh merosakkan apa jua rancangan mereka.

Hari ini, kedudukan Mahathir semakin terancam akibat kebangkitan para penyokong pembangkang yang enggan lagi melihat kelibat Mahathir menguasai Pakatan Harapan. Mungkin bagi mereka, roh penentangan Mahathir belum cukup kuat untuk mengetuai Pakatan Harapan dan hanya masa sahaja yang menentukan, berapa lama Mahathir dan PPBM mampu kekal di dalam Pakatan Harapan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*