Berhenti Terus Mempersoalkan Perkara Agama Yang Tuntutannya Jelas Datang Dari Allah SWT– PERTAMA

Share This:

 

Minggu lalu,Nik Elin Nik Rashid dikatakan mencetuskan kontroversi bahawa memakai tudung bagi wanita bukanlah satu perintah dari Tuhan.

 

Berhubung dengan perkara itu,Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) merasa terpanggil untuk memberi maklum balas dan penerangan dari segi hukum di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) mengenai kewajipan memakai tudung dan menutup aurat bagi wanita susulan dakwaan kontroversi pengasas Kelab Warisan Wibawa itu dan juga rakan kepada Marina Mahathir ,ahli Lembaga Sisters in Islam (SIS) itu.

 

“Dalam al-Quran, Surah Al-Ahzab ayat 59 Allah berfirman, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”,” kata Yang Dipertua PERTAMA Datuk Wira As’ari Hj Ibrahim.

 

“Maka, dalam bab tudung ini, Ijmak ulama’ mengatakan wajib ke atas setiap umat Islam wanita (memakai tudung) dan ia berlandaskan perintah Allah. Menafikan perintah Allah boleh membawa seorang itu kepada kekufuran.”

 

Tambah Datuk Wira As’ari Hj Ibrahim lagi, beliau menganggap pemikiran seperti ini berlaku dalam kalangan masyarakat kini kerana mereka tidak mengikut mazhab dan ijmak yang telah disepakati oleh para mujtahid terdahulu.

 

Selain itu, katanya lagi, masyarakat juga meletakkan dan memahami sesuatu hukum tanpa bertanya kepada ahli yang layak.

 

“Apabila tidak merujuk serta bertanya pada yang layak, maka lahirlah individu yang salah dalam mentafsir ayat al-Quran dan hadis seperti yang terjadi kepada wanita ini.

 

Perumpamaannya seperti orang awam yang tidak mempunyai ilmu perubatan tetapi berhasrat untuk menghasilkan ubat dengan hanya membaca buku berkaitan perubatan.

 

Sama juga situasinya dengan kereta BMW rosak tetapi bertindak untuk membaiki sendiri dan berfikir tidak perlu dibawa ke bengkel kereta bertauliah. Perkara seperti ini kelihatan semakin kerap terjadi dalam masyarakat.

 

Mereka ini mungkin diajar kononnya boleh terus merujuk pada al-Quran dan hadis oleh ilmuwan-ilmuwan bukan daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak mempunyai asas keilmuwan berteraskan ASWJ.”

 

“PERTAMA berharap Nik Elin akan kembali kepada fitrah Islam yang sebenar dan berhenti daripada terus mempersoalkan perkara agama yang tuntutannya jelas datang dari Allah SWT.

 

Justeru,sekali lagi pihak PERTAMA tekankan supaya semua masyarakat umum hendaklah berpegang kepada mazhab yang muktabar kerana kita tidak akan sesat,” tegasnya lagi.

 

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*