Malaysia Hebat!! Catat Pertumbuhan 6.2 Peratus Suku Ketiga 2017

Share This:

Malaysia mencatat pertumbuhan 6.2 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, dengan pencapaian itu membuktikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan yang betul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian itu menjadikan Malaysia antara negara yang merekodkan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di dunia pada tahun ini.

Beliau berkata pencapaian itu selaras dengan tuntutan Islam iaitu dengan sentiasa meletakkan sasaran terbaik dan tertinggi di dalam semua urusan yang dilaksanakan.

“Sebagai umat Islam, kita kena tetapkan tahap kecemerlangan yang perlu dicapai sekali gus menjadikan apa yang kita buat ada sasaran seperti terbaik, tertinggi, yang kedua-duanya membawa makna cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Surau Mahmoodiah, Presint 18 di Putrajaya, hari ini.

Najib, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, turut menyertai penduduk setempat menunaikan solat Jumaat di surau baharu itu, yang boleh memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Perdana Menteri berkata walaupun mengamalkan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan namun dalam hal pentadbiran negara, ia mesti meletakkan kecemerlangan sebagai penanda aras.

Beliau berkata selain ekonomi, pentadbiran agama juga berada di tahap cemerlang dan bertaraf dunia seperti pengurusan Tabung Haji, khususnya dalam hal mengendalikan jemaah haji.

“Ini semua berkat kita berpegang kepada Maqasid Syariah yang sentiasa meletakkan kepentingan pada yang hak,” katanya.

Mengenai surau tersebut, Najib berkata beliau begitu kagum dengan keindahan reka ciptanya malah menyifatkan ia sebagai antara surau paling selesa dan indah pernah dikunjunginya.

Mula dibina pada April 2015 dengan kos sebanyak RM4 juta sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), surau itu digunakan untuk solat Jumaat buat kali pertamanya pada 26 Mei lepas.

Terletak bersebelahan Sekolah Rendah Agama Mahmoodiah, surau itu dilengkapi dewan solat utama, pejabat pentadbiran, bilik pengurusan jenazah, dewan serbaguna, kuarter imam dan bilal serta tempat wudhu lelaki dan perempuan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*