Vingada Dah Boleh Kemas Beg

Share This:

RENTETAN lapan perlawanan tanpa kemenangan dianggap sebagai alasan terbaik untuk ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada  mengundur diri.

Itu pandangan legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang menyifatkan khidmat pengendali dari Portugal itu tidak diperlukan lagi.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak menuding jari ke arah Vingada berikutan prestasi mengecewakan pasukan kebangsaan kerana Vingada tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa menyenaraikan barisan pemain ‘lemau’ dalam skuadnya.

“Kita tidak ada barisan pemain berkualiti untuk bermain di peringkat antarabangsa. Apa yang kita ada hanyalah bertaraf AFF atau Sukan Sea sahaja. Jadi tak bolehlah nak salahkan jurulatih.

“Pemilihan jurulatih dari luar memang saya akui satu kesilapan. Kita tiada pemain berkualiti, tapi mahukan jurulatih yang terbaik… macam mana kita nak dapat hasil yang positif?

“Jadi, sebab itulah saya berasakan Vingada dah tahu apa yang dia perlu buat iaitu untuk menarik diri. Khidmat dia sudah tidak diperlukan dan inilah masa terbaik untuk dia mula mengemas beg,” katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu, beliau menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantik jurulatih tempatan untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

“Daripada kita membazir bayar gaji yang terlalu tinggi kepada jurulatih luar, lebih baik untuk sementara waktu kita melantik jurulatih tempatan.

“Beberapa tahun kemudian bila kita ada pemain yang benar-benar mencapai kualiti yang kita mahukan, barulah kita ambil jurulatih yang terbaik,” katanya.

Tambah Khalid, buat masa ini beliau melihat tiga calon jurulatih tempatan yang patut diberi peluang menggantikan Vingada iaitu Datuk K Rajagobal, Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe.

“Kita patut tumpu kepada tiga nama ini kerana mereka merupakan antara jurulatih terbaik kita ada dan hampir setaraf jurulatih luar,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*