Semak Tunggakkan Cukai Sebelum Melancong Ke Luar Negara

Share This:

Penghujung penggal persekolah sudah hampir bermula. Ibubapa yang perihatin sudah mula merancang untuk melakukan percutian bersama keluarga ke destinasi yang terpilih. Lokasi pelancongan terpilih juga bergantung kepada bajet dan kategori bersesuaian dengan minat masing-masing.

Selain bersiap sedia dengan tempahan dengan agensi pelancongan, tempat kediaman yang bakal dinikmati, jadual dan insurans perjalanan. Tidak dilupakan persiapan pertukaran mata wang asing jika percutian ke luar negara.

Namun begitu, langkah terakhir sebagai pembayar cukai yang bersedia adalah dengan menyemak status sekatan perjalanan dan menjelas cukai tertunggak bagi mengelak sebarang kesulitan di kaunter imegresen atau pintu keluar negara.

Semakan boleh dilakukan melalui portal rasmi Jabatan Imegresen Malaysia di http://sspi2.imi.gov.my dengan memasukkan maklumat berkenaan nombor kad pengenalan pembayar cukai atau pertanyaan lanjut boleh dilakukan kepada cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berdekatan.

Sekatan perjalanan ke luar negara dikenakan ke atas individu atau pengarah syarikat yang gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat mereka walaupun notis peringatan telah diberikan.

Kebiasaanya sekatan perjalanan ke luar negara merupakan tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka . Oleh yang demikian, Ketua Pengarah LHDNM boleh mengeluarkan sijil sekatan bagi menghalang sesorang meninggalkan negara.

Permohonan pembatalan sekatan perjalan boleh dilakukan dengan bayaran penuh ke atas jumlah amaun yang dinyatakan di dalam Sijil Sekatan Perjalanan. Jika tidak dapat menjelaskan tunggakan cukai sepenuhnya, pembayar cukai atau wakil boleh hadir ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.

Seterusnya mengemukakan surat permohonan mengandungi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh ke luar negara serta membuat bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah cukai tertunggak dan membuat aturan bayaran ansuran untuk baki selebihnya. Surat pelepasan sementara akan dikeluarkan dengan menyatakan tempoh pelepasan yang dibenarkan.

Kita juga boleh merujuk kepada maklumat lebih terperinci di http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf berkenaan proses pembayaran dan surat pelepasan sementara dinyatakan seperti ilustrasi di bawah.

Oleh itu, bagi mengelak sebarang kesulitan, sila semak dan jelaskan tunggakan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau syarikat sebelum merancang ke luar negara.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*