Bibi Ramjani Dedah Kaitan Watanya Wongopasi Dengan TRW

Share This:

Dek kerana memiliki rupa paras yang cantik dan berjaya mengurus skuad Bawah 23 tahun (B-23) Thailand memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, nama Watanya Wongopasi mula menjadi sebutan di negara ini.

Terbaharu, Watanya atau lebih dikenali dengan jolokan “Madame Dear” turut dikaitkan bakal menerajui skuad The Red Warriors (TRW) bagi aksi Liga Malaysia 2018.

Malah khabar angin itu timbul selepas Watanya kini tidak lagi bersama skuad B-23 Thailand sejak 9 September lalu.

Nama Watanya hangat diperkatakan penyokong skuad Kijang itu di laman media sosial selepas sumber dalaman Kafa mendedahkan dua calon import kini dalam radar pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan khabar angin tersebut kerana wanita itu bukanlah seorang jurulatih tetapi hanya pengurus skuade B-23 Thailand.

“Tak benar. Kenyataan mengenai calon jurulatih hanyalah dari Presiden dan Timbalan Presiden sahaja… selain daripada itu tak betul,” katanya.

Pada Rabu, Watanya secara rasmi telah dilantik sebagai pengurus skuad B-21 Thailand.

 

Jelas Bibi, khabar angin itu mungkin timbul disebabkan harapan tinggi penyokong yang mahukan Kafa melakukan yang terbaik untuk TRW.

“Harapan penyokong terlalu tinggi tapi dia (Watanya) tak ada kaitan lagi dengan Kelantan setakat ini,” katanya.

Pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu berkata Kafa masih mempertimbangkan jurulatih sesuai untuk mengendali skuad TRW.

“Buat masa ini masih belum muktamad lagi,” katanya.

Sebelum ini, Kafa dilaporkan sedang mempertimbang seorang daripada tiga jurulatih yang berpotensi untuk mengemudi pasukan Kelantan.

Jelas sumber dalaman persatuan itu, daripada tiga calon yang disebut-sebut, dua merupakan jurulatih import manakala seorang lagi jurulatih tempatan.

“Setakat ini kita ada tiga calon, dua import… seorang tempatan. Namun ketiga-tiganya mempunyai rekod cemerlang bersama pasukan masing-masing,” katanya.

Pada pengumuman Sabtu lalu, Bibi mengesahkan Santhit Bensoh kekal sebagai pemangku jurulatih TRW sehingga Kafa menemui jurulatih yang sesuai.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*