Ekspo Negaraku : Perjalanan Masa Hadapan Malaysia

Share This:

Setiap seorang yang tinggal di negara ini mengimpikan sebuah negara Malaysia yang maju, progresif dan mampu setanding dengan negara maju yang lain. Untuk itu, pelbagai cara dilakukan oleh kerajaan dengan merancang perjalanan negara untuk 30 tahun yang akan datang menerusi Transformasi Nasional 2050.

Untuk ini, bertempat di Dataran Merdeka, satu acara telah dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang membawa secara lebih dekat kepada rakyat, perancangan jangka panjang kerajaan terhadap Malaysia yang akan disaksikan secara berperingkat-peringkat di masa-masa yang akan datang.

Ekspo Negaraku ini dianjurkan selama sebulan bermula 15 November sehingga 15 Disember ini dengan membabitkan semua agensi di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Kesemua perancangan kerajaan akan dipamerkan kepada orang ramai termasuk perancangan jangka panjang pengangkutan awam negara, pembangunan negara dan banyak lagi.

Menariknya, ekspo ini turut membawa kira-kira 20 pengusaha foodtruck disamping gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai cenderamata dan makanan yang mana kesmeua pengusaha adalah dari kalangan bumiputera di seluruh Lembah Klang.

Dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam, pihak penganjur mengharapkan ekspo ini mampu menarik orang ramai dari seluruh negara bagi memahami aspirasi kerajaan terhadap pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Ekspo yang berkonsepkan kubah ini mempunyai 5 kubah besar, yang pertama seumpamanya di negara ini mempunyai maksudnya yang tersendiri. Bagi kubah pertama, ianya membawa tema “Rasa Bertuah Dirasai Bersama”. Di kubah ini, ianya memaparkan tayangan video kehidupan rakyat Malaysia yang dilimpahi tuah hasil daripada kemajuan infrastruktur negara.

Kubah kedua pula, ianya membawa tema “Kemudahan Infrastruktur” yang mana di kubah ini orang ramai akan menyaksikan transformasi kepada kehidupan rakyat Malaysia termasuk lapangan terbang, sistem Transit Aliran Massa hingga ke penjanaan kuasa.

Di kubah ketiga, dengan tema “Kehidupan dan Kesejahteraan”, akan memaparkan program dan inisiatif yang disediakan termasuk daripada aspek kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi, pembangunan inklusif dan lain lain lagi.

Manakala di kubah keempat, dengan tema “Gaya hidup Malaysia” ianya akan memaparkan panorama indah Kuala Lumpur dari Menara PNB118, landskap Pulau Langkawi dari puncak kereta kabel, serta infrastruktur moden sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Kubah terakhir pula yang membawa tema “Masa Depan Kita”, ianya akan memaparkan visual 360 darjah mengenai gambaran masa depan negara menerusi pembangunan Bandar Malaysia, Malaysia Vision Valley dan MyHSR.

Inilah satu ekspo yang cukup menyeluruh yang dibawa khas oleh kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mengenal dan memahami arah tuju negara di bawah pentadbiran hari ini dan masa hadapan. Kerajaan sudah menyiapkan rangka jangka masa panjang untuk negara dan di setiap kubah berkenaanlah segalanya akan diserlahkan untuk tatapan umum.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*