Nazri Aziz Selar Pengusaha Larang Pakai Tudung Bagi Pekerja Wanita Muslim

Share This:

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dalam isu pemakaian tudung dalam kalangan pekerja hotel di bahagian perkhidmatan pelanggan di meja hadapan membuat kenyataan lantang mempertahankan amalan menutup aurat dalam di negara ini yang berlandaskan Islam.

Beliau mempersoalkan adakah lebih baik pekerja di bahagian berkenaan di sesebuah hotel di Malaysia berbogel terus daripada memakai tudung.

“Adakah telanjang bogel lebih baik dari kita pakai tudung di kaunter,” kata Nazri pada sidang media majlis pra-pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau yang terkenal dengan kelantangannya itu turut menyifatkan kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung sebagai kurang ajar dan satu diskriminasi.

“Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

“Datang negara orang hormatlah sikit. Apa yang ada dalam kita punya akta ini.

“Ini merupakan satu bentuk diksriminasi kerana dalam Perlembagaan jelas mengatakan tidak boleh berlaku diskriminasi atas apa alasan sekalipun sama ada agama (atau) bangsa,” kata Nazri.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendakwa ada pekerja hotel wanita yang mengadu mereka diarahkan menanggalkan tudung.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan praktikal.

Namun, MAH yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan berkata ini adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*