Ekspo Negaraku 2017 Di Dataran Merdeka Wajib Dikunjungi

Share This:

Expo Negaraku 2017 yang bermula 15 November hingga 15 Disember depan di Dataran Merdeka menampilkan pameran berkonsep lebih dramatik dan interaktif ke arah memupuk semangat patriotik serta cintakan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata ia merangkumi usaha kerajaan untuk menyebarkan maklumat mengenai rangkaian pembinaan kemudahan awam selain pemangkin bagi menyuntik semangat sayangkan negara dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, ekspo ini merupakan pameran infrastruktur yang paling canggih dan terbesar pernah dianjurkan di negara ini.

“Ekspo ini adalah hasil ilham perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pengalaman baharu kepada rakyat Malaysia dalam kita menghayati ekspo.

“Belum pernah diadakan di negara kita ekspo Negaraku 2017 ini yang bersifat sangat interaktif.

“Ia untuk menyebar maklumat dan menghayati serta mendapatkan input daripada pengunjung,” katanya semasa sidang media selepas prebiu media Ekspo Negaraku 2017, di ibu negara, hari ini.

Pameran sebulan itu dibuka percuma setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ujar Rahman, expo Negaraku 2017 dijangka dihadiri kira-kira setengah juta pengunjung.

“Ia bukan sekadar pameran statik, sebaliknya berteraskan interaktif, sekali gus membolehkan pengunjung melalui pengalaman ciri fizikal sebenar kemudahan yang dibina kerajaan selama ini.

“Pengunjung akan merasai sendiri dengan pegang dan sentuh, malah ketika sesi tontonan video, pengunjung bakal mengalami situasi sebenar di lapangan seperti waktu hujan serta bunyi guruh,” ujarnya.

Katanya lagi, antara tarikan di ekspo berkenaan adalah pameran teknologi telefon yang memberi peluang kepada pengunjung menerima panggilan daripada Datuk Seri Najib, menteri-menteri Kabinet serta menteri besar.

“Telefon lama dan baharu di sini akan berdering serta menyampaikan maklumat mengenai teknologi komunikasi, pengunjung bertuah akan menerima panggilan daripada pemimpin-pemimpin negara,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, Jalan Raja Laut di antara Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka juga akan ditutup selama sebulan untuk keselamatan dan memudahkan perjalanan pengunjung ekspo berkenaan.

“Ia sekali gus menjadi langkah mempromosi pengunjung untuk menggunakan khidmat pengangkutan awam.

“Penyedia perkhidmatan Grab juga sudah bersetuju untuk memberikan diskaun RM5 kepada pengunjung ke sini,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*