Bukan SOP Antarabangsa Larang Pemakaian Tudung-MACSA

Share This:

 

Menurut  Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), Azril Mohd Amin berkata,“Tiada standard operasi (SOP) antarabangsa yang melarang pemakaian tudung dan larangan tersebut sebenarnya satu diskriminasi.

 

Dalam satu kenyataan rasmi MACSA hari ini, Azril membidas kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia Cheah Swee Hee yang mendakwa bahawa larangan pemakaian tudung bagi pekerja di barisan hadapan hotel adalah berdasarkan SOP antarabangsa.

 

“Semua pelancong antarabangsa tahu bahawa dakwaan Cheah Swee Hee tidak benar. Ini kerana pekerja hotel di seluruh dunia dibenarkan memakai tudung; (hotel-hotel di) Negara Teluk, Turki, Indonesia, UK, US tidak mengenakan sebarang sekatan kepada pekerja hotel mereka untuk memakai pakaian yang diwajibkan dalam agama mereka, begitu juga halnya di kebanyakan hotel di Malaysia.”

 

Tambahnya lagi, polisi (larangan memakai tudung) ini jelas menunjukkan sikap prejudis dan tidak bertoleransi dengan budaya. Selain daripada itu, polisi ini bukan berdasarkan amalan perniagaan yang baik mahupun dibuat mengikut undang-undang, maka ia boleh diubah dan perlu diubah.

 

“Kita sememangnya bersetuju bahawa majikan mempunyai hak untuk menetapkan kod pemakaian pekerja – dan sehingga ke satu tahap melarang dari mengekspresikan sebarang bentuk ajaran agama sekiranya menimbulkan kesukaran kepada pihak majikan atau rakan sekerja atau atas dasar keselamatan; akan tetapi, sekatan-sekatan tersebut hanya boleh dibenarkan apabila benar-benar perlu.”

 

“Dan, larangan pemakaian tudung kepada pekerja Muslim bukanlah termasuk dalam mana-mana kategori (yang memerlukan sekatan) tersebut.”

 

“Justeru, kami menggesa kepada kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengubah polisi yang jelas mendiskriminasikan wanita berdasarkan agama ini,” tegas Azril lagi.

 

Walaupun Malaysia membenarkan ajaran agama lain dianuti dan diekspresikan, namun, rakyat perlulah menghormati agama Islam yang tertakluk dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai Agama Negara.

 

Majikan juga perlu mewujudkan polisi yang menghormati Agama Negara ini, bukannya menentang dan mendiskriminasi agama Islam dan penganutnya kerana ini jelas bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*