Pemimpin Muda MIC Proaktif Bantu Rakyat, Sertai Gotong-Royong Perdana

Share This:

Bergerak secara proaktif dan pantas sudah biasa menjadi lumrah dalam gerak kerja kelompok golongan muda dalam MIC di mana-mana tempat pun di negara ini. Mereka rajin dan tidak kekok untuk turun padang bersama-sama dengan masyarakat tidak kira latar belakang ataupun bangsa.

Semalam, pemimpin muda MIC iaitu Ketua Putera MIC Bahagian Rasah Dineshwaran T Rajagopalu bersama komuniti bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar di Kampung Gelam dan Kampung Air Meleleh dalam satu program Gotong-Royong Perdana.

Program berkenaan adalah anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gelam diketuai Tuan Haji Osman dan barisan ahli jawatankuasanya bersama wakil dari UMNO Cawangan Kampung Gelam.

Difahamkan program berkenaan adalah tajaan syarikat Heng Yuan Refining Company.

“Saya turut mengambil kesempatan untuk menyumbangkan 10 beg barangan keperluan untuk diberikan dalam cabutan bertuah.

“Seramai 25 orang telah diberikan barangan keperluan harian melalui cabutan berkenaan dan lebih dari 70 orang masyarakat tempatan menyertai gotong-royong berkenaan,” kata Dineshwaran yang juga Penasihat Putera MIC Bahagian Teluk Kemang.

Menurut beliau, program berkenaan dimulakan dengan senaman aerobik kemudian kerja pembersihan dilakukan bersama di sekitar kawasan kampung antaranya membersihkan longkang, memotong rumput dan pokok.

“Kampung yang bersih adalah tanggungjawab bersama, turut menyertai kami ialah pemimpin tempatan MIC iaitu Ketua Wanita MIC Teluk Kemang, Dr Thanaletchummy, Ketua MIC Cawangan Teluk Kemang, Parames Saniasi dan Ketua MIC Cawangan Port Dickson, Encik Sivanesan.

Majlis penutup program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua MIC Bahagian Rembau Datuk VS Mogan dan Ketua MIC Bahagian Teluk Kemang, Datuk Balakrishnan.

“Saya turut bersama-sama dengan mereka beramah mesra dengan masyarakat kampung berbincang berkenaan isu semasa dan isu tempatan.

“Saya berharap semua pihak dapat menjaga kebersihan kawasan sekitar dan jangan buang sampah merata-rata kerana ia akan mengakibatkan longkang tersumbat seterusnya menyebabkan banjir dan juga pembiakan nyamuk,” kata beliau.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*