Berita Baik Untuk “Landlord”, Pengecualian Cukai Pendapatan Sewaan

Share This:

Perkembangan terhadap perniagaan pasaran sewa rumah di Malaysia semakin bertambah pesat. Carian di dalam talian pada satu laman sesawang yang popular menunjukkan lebih 80 ribu iklan berkenaan tawaran sewa terhadap kediaman di bawah RM2,000 sebulan.

Sebelum seseorang individu ingin memulakan satu keputusan untuk mendapatkan pendapatan melalui penyewaan melalui harta tanah (property), kita perlu menilai tahap permintaan sewaan di kawasan tersebut.

Sebelum meletak kadar sewaan terhadap harta tanah tersebut, sedikit kajian perlu dilakukan terhadap kadar keupayaan membayar cukai melalui taraf ekonomi setempat dan juga permintaan akibat kekurangan premis sewaan yang di tawarkan.

Apa juga sewaan terhadap premis, perjanjian sewa perlu dilakukan untuk memberi garis panduan antara penyewa dan pemilik premis. Oleh itu bayaran yang diterima daripada transaksi ini dikira sebagai pendapatan penyewaan harta tanah dan boleh dicukaikan.

Begitu juga kita perlu mengetahui perbelanjaan dari sewaan yang dibenarkan untuk tujuan penolakan dari hasil pendapatan sewa hartanah seperti:

a) Cukai pintu dan cukai tanah – Cukai pintu tahunan yang dibayar kepada pihak berkuasa tempatan dan cukai tanah yang dibayar kepada pejabat tanah;

b) Faedah atas pinjaman – Faedah yang dibayar berhubung pinjaman yang diambil bagi membiayai pembelian harta tanah yang di sewakan;

c) Premium insurans kebakaran – Premium insurans kebakaran yang dibayar berhubung polisi insurans kebakaran yang diambil ke atas harta tanah yang di sewakan.

d) Perbelanjaan mengutip sewa – Upah kutipan sewa dan perbelanjaan guaman yang dilakukan untuk menguatkuasakan pungutan sewa;

e) Perbelanjaan memperbaharui sewa – Perbelanjaan yang dilakukan untuk memperbaharui penyewaan atau menukar penyewa.

f) Perbelanjaan pembaikan – Perbelanjaan pembaikan biasa yang bertujuan untuk menjaga harta tanah dalam keadaan yang sedia wujud.

Pendapatan penyewaan ini merupakan salah satu pendapatan pasif yang mendapat sokongan insentif daripada kerajaan. Melalui pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menekankan kerajaan turut menyokong dan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman.

Buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun, kerajaan mengumumkan pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga RM 2 ribu sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.

Pengecualian cukai terhadap pendapatan sewaan ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020. Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*