Sokongan Kerajaan Melalui Pengecualian Cukai Kepada Syarikat “Start Up”

Share This:

Pada pembentangan Bajet 2018, kerajaan turut mendengar rintihan dan keluhan banyak syarikat kecil seperti start-up atau pemula niaga yang sukar mendapat akses kepada modal, bagi membawa mereka ke pasaran yang lebih luas.

Kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk pengecualian cukai dengan tempoh 5 + 5 tahun bagi membantu syarikat start-up atau pemula niaga memajukan perniagaan termasuk menembusi pasaran antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebanyak RM 1 bilion disediakan oleh pelabur institusi utama untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih yang diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti. Beliau berkata kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melaksanakan program Global Acceleration and Innovation Network (GAIN) bagi menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran kepada syarikat teknologi tempatan yang berpotensi.

Peluang usahawan dalam bidang ekonomi digital dapat dimanfaatkan lebih 194,000 usahawan bagi tempoh Januari tahun lepas hingga September tahun ini. Kelebihan ini akan dapat dinikmati oleh peserta program eUsahawan dan eRezeki bagi memastikan ekonomi digital akan terus menyumbangkan peningkatan taraf ekonomi orang ramai.

Perdana Menteri turut menyatakan antara program yang dijalankan ialah eUsahawan yang telah memberi latihan kepada 92,926 usahawan muda dan desa melalui kursus yang dijalankan di pusat-pusat institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) awam yang terpilih di seluruh negara.

Tambahan lagi, sebanyak 27,170 atau 29 peratus daripada peserta telah mula melaporkan jualan tambahan keseluruhan yang berjumlah lebih daripada RM 112 juta. Beliau berkata daripada jumlah peserta yang telah melapor jualan tambahan sebanyak, lebih 59 peratus adalah dari golongan wanita.

Begitu juga dengan program eRezeki yang mempromosi penggunaan teknologi digital dengan mengupayakan rakyat untuk meraih peluang-peluang ekonomi melalui platform ‘crowdsourcing’ telah melatih 101,693 individu melalui pusat dan wakil eRezeki di seluruh negara.

Memasuki tahun ketiga, program eRezeki dan eUsahawan melalui MDEC menganggarkan seramai 150,000 orang akan dilatih pada tahun 2018, menyumbangkan kepada 341,745 rakyat yang menyertai kedua-dua program.

Melihat pada rekod terkini, sebanyak RM81 juta pendapatan dapat dijanakan pada tahun 2017 dan dengan jangkaan perkiraan pendapatan hasil yang bakal diperolehi sebanyak RM 544 juta pada tahun 2018.

Semoga perlaksaan ini dapat diteruskan mengikut jadual dan perancangan demi menjayakan misi dan visi Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*