Sindiket Pintas Cek Dan Kad Kredit Ditahan

Share This:

KUALA LUMPUR – Sindiket pintas cek dan kad kredit yang dikenali sebagai “Kumpulan Ah Chong”, dilumpuhkan polis Sabtu lepas dengan penahanan lima anggotanya termasuk seorang wanita di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini.
Dalam serbuan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield, merampas kad pengenalan palsu, telefon bimbit, kad debit, pelbagai cek bank dan kotak peralatan disyaki digunakan untuk mengubah suai cek dan cip kad pengenalan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata modus operandi sindiket itu ialah  anggotanya akan memintas kad-kad kredit yang dihantar pihak bank melalui peti surat di kondominium sekitar Lembah Klang dan kad-kad itu kemudian diubah suai bagi membeli barang secara dalam talian.

“Barang yang dibeli online itu, akan dijual semula bagi memperoleh keuntungan. Kegiatan berlangsung sejak Ogos lepas dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM500,000.
“Hasil siasatan, mendapati seorang daripada lima suspek yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu, mempunyai tiga rekod ‘dikehendaki’kerana melarikan diri daripada Perintah Sekatan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras, di sini.

Mazlan berkata tiga  suspek direman sehingga esok manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Tipu dengan jalan samaran) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. – Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*