Selepas Dobi ‘Mesra Muslim’, Kedai Jepun Larang Cina Masuk Premis?

Share This:

PETALING JAYA: Selepas isu kedai dobi “mesra Islam” di Muar September lalu, kini sebuah kedai menjual produk Jepun di Johor Bahru dilaporkan melarang orang Cina memasuki premis itu.

China Press memetik seorang lelaki berusia 48 tahun yang mengadu kakitangan di kedai menjual produk penjagaan kesihatan dan rumah di Taman Larkin Perdana itu melarang beliau memasuki premis berkenaan bulan lalu.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan dasar diskriminasi itu memberitahu kakitangan berkenaan beliau akan membuat aduan kepada menteri besar Johor.

Kakitangan itu bagaimanapun menjawab: “Orang Melayu ada kedai Melayu, orang Cina ada kedai Cina”.

China Press melaporkan hasil pemeriksaan wartawan ke kedai itu mendapati ada notis bahasa Melayu dan Cina yang ditampal di luar pintu.

Notis itu tertera “Harap maklum bahawa kami menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti penerangan semasa promosi dijalankan. Hanya warganegara Malaysia yang berbangsa MELAYU sahaja dibenarkan masuk. Segala kesulitan amat dikesali”.

Di bawah notis itu tertera perkataan Cina berbunyi: “Pelanggan Cina dialu-alukan mendapatkan lokasi promosi untuk orang Cina daripada pengurus kedai dan mengunjungi tempat itu”.

Akhbar itu difahamkan syarikat berkenaan memasuki pasaran orang Cina 25 tahun lalu dan kini ia sudah matang dan mula meneroka pasaran bukan Cina sejak setahun setengah lalu.

Seorang pengurus wanita di kedai itu menjelaskan syarikat berkenaan tidak mengamalkan “diskriminasi kaum” kerana mereka ada cawangan dibuka di Johor dan negeri lain yang khusus untuk orang Cina.

Beliau berkata, demi meneroka pasaran baharu, mereka menubuhkan cawangan di Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta terbuka kepada pelanggan Melayu dan India sahaja.

Katanya, ramai orang Cina sebenarnya mengetahui produk syarikat itu dan mereka dialu-alukan ke cawangan dibuka khusus untuk kaum itu.

Beliau mengakui bimbang dengan kedai khusus untuk umat Islam sahaja, tetapi katanya itu adalah strategi pemasaran syarikat yang bukan bertujuan meminggirkan kaum Cina.

Beliau berkata, syarikat itu pernah mengutamakan pelanggan Cina sahaja kerana ketika itu produk diperkenalkan mereka belum mendapat sijil halal.

Sementara itu, seorang peniaga berusia 56 tahun berkata, syarikat berkenaan membuka cawangan di Taman Larkin Perdana itu September lalu.

Wanita itu yakin cawangan berkenaan hanya membuka pintu kepada pelanggan Melayu dan India kerana bimbang kaum Cina tidak memahami bahasa Melayu.

Seorang pengusaha bengkel motosikal berkata, ada kakitangan yang membenarkan beliau memasuki cawangan itu, tetapi bimbang beliau akan berdepan masalah jika orang Cina lain juga mahu masuk.

Difahamkan, majoriti penduduk dan peniaga di Taman Larkin Perdana terdiri daripada orang Melayu.

Pada 27 September lalu, Sultan Johor mengarahkan pemilik Elite Laundry, sebuah kedai dobi layan diri di Muar, memohon maaf atau berdepan penutupan kerana menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan Islam sahaja atas “faktor kesucian”.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, pemilik itu boleh meninggalkan Johor jika mahu meneruskan dasar itu.

“Saya mahu pemilik kedai meminta maaf kepada saya dan rakyat Johor. Dia membuat rakyat Johor marah dan berasa malu kerana ini bukan Johor yang kita mahu.

“Saya cadang dia buka kedai di Afghanistan,” katanya dipetik The Star.

Pemilik itu akhirnya akur dan memohon maaf kepada Sultan Johor serta menamatkan dasar “mesra Islam” itu.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*