Tiada Permohonan Ekstradisi Dr Zakir – TPM

Share This:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak menerima permohonan ekstradisi daripada kerajaan India terhadap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik yang berada di negara ini atas dakwaan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan itu berdasarkan Bantuan Undang-Undang Bersama, Malaysia akan memenuhi permintaan itu dengan menghantar Dr Zakir ke negara asalnya itu.

“Setakat ini saya belum menerima permohonan ekstradisi daripada kerajaan India. Saya bertemu dengan Perdana Menteri India Narendra Modi (dalam lawatan ke India beberapa bulan lalu) dan saya dengan beliau ada membincangkan mengenai Dr Zakir tetapi ketika itu tidak ada permohonan ekstradisi dikemukakan.

“Tetapi saya dimaklumkan bahawa pihak kerajaan India telah membatalkan pasport antarabangsa beliau, ertinya beliau tidak boleh bergerak menggunakan pasport India, jadi dalam hal ini beliau berada di Malaysia sebagai Pemastautin Tetap (PR),” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan sentiasa memantau aktiviti Dr Zakir di negara ini atau di luar negara dan akan mengambil tindakan sekiranya terlibat atau mempromosi aktiviti keganasan atau perkara yang menyalahi undang-undang negara.

Ahmad Zahid berkata, pihak polis telah meneliti setiap aktiviti ceramah yang dilakukan Dr Zakir sama ada di negara ini atau di luar negara dan mendapati setakat ini tidak ada sebarang unsur-unsur mempromosi keganasan atau mengkritik agama lain seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya berharap kita jangan bersalah sangka terhadap mana-mana pihak terutamanya mubaligh seperti Dr Zakir, mungkin apa yang diambil adalah di luar konteks, cuba baca dan dengar keseluruhan ceramah beliau dan pegawai-pegawai saya telah meneliti setiap ceramah beliau serta rancangan Peace TV yang dikeluarkan, setakat ini tidak ada unsur-unsur itu,” katanya.

Semasa penggulungan itu juga, beberapa anggota Parlimen pembangkang mencelah dan membangkitkan mengenai pemberian taraf PR kepada Dr Zakir oleh kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, Dr Zakir mendapat taraf itu sejak beberapa tahun lalu dan diberikan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Tidak ada sebarang keistimewaan kepada Dr Zakir dalam permohonan untuk PR atau permit masuk ke negara ini, jika permohonan memenuhi syarat maka beliau diberikan, syarat yang sama juga dikenakan untuk mana-mana warganegara asing yang ingin menjadi PR di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penarikan pasport antarabangsa Dr Zakir oleh kerajaan India juga tidak mempengaruhi tarafnya sebagai PR di negara ini, melainkan jika penceramah itu didapati terlibat dengan aktiviti keganasan dan jenayah.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*