PM Ingatkan Pulau Pinang Teliti Dahulu Sebelum Luluskan Pembangunan

Share This:

Kerajaan Pulau Pinang diingatkan agar membuat penelitian dalam meluluskan projek pembangunan bagi mengelakkan berlakunya kejadian buruk akibat bencana alam seperti banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebarang keputusan untuk meluluskan projek pembangunan itu juga mesti mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Sebarang projek pembangunan yang mahu dilakukan itu mesti ikut peraturan kerana jangan sama sekali menjejaskan alam sekitar dan boleh menyebabkan akan berlaku keadaan yang lebih buruk lagi.

“Kerajaan persekutuan akan berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang selepas ini untuk melihat perkara ini kerana yang lebih penting untuk kita utamakan adalah keselamatan dan kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar Ridwan di Tasek Gelugor, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Mengulas desakan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap kerajaan Pulau Pinang agar membatalkan pembangunan berisiko di lereng-lereng bukit negeri ini, Najib berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan tersebut jika ia memberi kebaikan kepada semua pihak.

Menyentuh banjir besar yang berlaku di negeri ini, Najib berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua pihak seperti kerajaan negeri termasuk agensinya yang bekerjasama erat dengan kerajaan pusat dalam menangani keadaan banjir ini.

“Terjemahan kerjasama erat ini adalah baik sehingga mampu menangani masalah banjir ini dengan tersusun.

“Semua pihak bekerja sepanjang masa untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan perkara ini turut diakui Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau berkata senario hubungan baik itu merupakan contoh terbaik yang perlu diikuti semua pihak di negara ini ketika berlakunya bencana.

Beliau berkata dalam taklimat yang diberikan kepadanya, kerajaan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek besar dan kecil dalam soal menangani bencana.

“Bagaiamanapun kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM150 juta dalam projek pembinaan tebatan banjir bagi fasa ketiga Lembangan Sungai Pinang,” katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan sama sekali tidak akan menganaktirikan Pulau Pinang dan akan tetap menyalurkan bantuan seperti yang diberikan kepada Kelantan.

“Kita akan lihat keadaan kewangan kita untuk membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek ini,” katanya.

Beliau juga turut menasihatkan rakyat agar menjaga kebersihan seperti tidak membuang sampah ke dalam longkang dan parit bagi mengelakkan ia tersumbat dan akhirnya keadaan banjir menjadi lebih buruk.

Katanya apa yang berlaku di negeri ini yang menyebabkan banjir besar berlaku, selain akibat taburan hujan yang lebat, ia juga boleh dikaitkan dengan sikap manusia.

“Hujan yang turun pada Ahad lalu adalah hujan yang turun dalam sehari itu menyamai dengan sebulan hujan,” katanya.

Najib juga berkata keadaan bencana sekarang sudah bertukar akibat perubahan cuaca dan berlaku kadang-kadang keadaan yang sukar dijangka seperti banjir ini.

“Kita juga tidak terlepas daripada bencana seperti yang berlaku di luar negara dan sebagai sebuah kerajaan kita akan memberi jaminan untuk melindungi rakyat kita,” katanya.

“Saya yakin rakyat juga akan turut membantu agar tidak memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Perdana menteri juga berkata beberapa NGO akan turut turun padang membantu mangsabanjir di Pulau Pinang.

Pada majlis itu juga Yang Dipertua Pandu Puteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan bantuan sebanyak RM50,000 kepada mangsa banjir dan RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*