Bunuh Kawan Kerana Telefon Bimbit

Share This:

Seorang lelaki menikam rakan sekerja sehingga mati di rumah kongsi ICT, dekat Sipitang, malam tadi hanya kerana berang dituduh mencuri telefon bimbit.


Memetik Harian Metro, dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Sipitang akibat kecederaan di perut.


Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham dan pertengkaran antara mangsa dengan suspek, kata Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat.



Foto: Harian Metro

“Mangsa dikatakan mencari telefon bimbitnya di rumah suspek lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek menikam mangsa di perut menggunakan pisau.

“Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Sipitang dan didapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya.


Tambah Sabarudin, pihaknya menahan suspek pada jam 1.30 pagi tadi dan merampas pisau yang disyaki menjadi bahan bukti.

“Polis memberkas suspek dalam tempoh dua jam dan siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dan suspek dikatakan mabuk.

“Suspek lelaki berusia 36 tahun direman bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*