Syarat Popov Tak Masuk Akal – Bibi

Share This:

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan mengakui ada melakukan rundingan dengan bekas pengendali skuad The Red Warriors (TRW), Velizar Popov.

Bagaimanapun Bibi berkata, rundingan tersebut tidak dimuktamadkan secara rasmi kerana Kafa tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan pengendali dari Bulgaria itu.

“Ya ada (intai khidmatnya). Saya pernah berhubung dengan dia melalui WhatsApp semasa memaklumkan mengenai pembayaran gaji tertunggaknya sebelum ini.

“Tapi rundingan tiada kata putus dan ada sebab kita belum follow up dengan ejen dia kerana ada syarat yang kita tak boleh nak terima,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Jelas pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu, antara syarat yang dikenakan Popov adalah dia boleh meninggalkan Kelantan pada bila-bila masa sekiranya menerima tawaran lain dari kelab luar.

“Jadi saya rasakan syarat itu sebagai tidak masuk akal. Kalau betul dia mahu membantu menaikkan nama pasukan, dia tak boleh memikirkan tawaran lain dalam masa tertentu.

“Dan saya juga rasakan pihak pengurusan Kafa berhak untuk menolak khidmat Popov kerana gajinya akan dibayar badan induk bola sepak negeri ini,” katanya.

 

Bibi Ramjani Ilias Khan.

Namun, Bibi berkata rundingan dengan Popov masih diteruskan tetapi beliau tidak menolak jika ada calon lain lebih baik daripadanya untuk mengemudi TRW musim depan.

“Masih dalam rundingan tapi sesiapa sahaja tidak mustahil jadi jurulatih Kelantan,” katanya.

Popov yang pernah mengendali skuad tersebut pada musim lalu menerusi kenyataan di Facebook malam Ahad memohon maaf kerana tidak merealisasikan harapan penyokong untuk mengendali semula pasukan tersebut.

“Saya minta maaf dan ingin nasib TWR baik!!! GKG!!! (Gomo Kelate Gomo),” tulisnya.

Menerusi entri tersebut, Popov, 41, berkata rundingannya mengenai kontrak baharu bagi musim 2018 tidak mencapai persetujuan apabila Kafa tidak menerima syarat ditetapkannya.

Jelas Popov, punca dia menolak tawaran tersebut bukan disebabkan soal wang tetapi kerana tidak diberi kebebasan untuk memilih kakitangan dan mengawal pemindahan pemain tempatan dan juga import.

“Saya telah bersedia untuk membuat kompromi dengan semua keadaan, tetapi tidak dengan dua syarat paling penting untuk kerja-kerja saya.

“Jika saya tidak boleh pilih kakitangan dan pemain import atau tempatan baharu, saya tak boleh bekerja secara normal,” katanya.

Difahamkan, Popov kini kembali ke Thailand sebagai ketua jurulatih Sisaket FC pada tahun ini selepas kali terakhir menerajui Suphanburi FC, tiga tahun lalu.

Dia mengikat kontrak bersama kelab yang berpangkalan di Sisaket itu selama setahun.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*