Dua Pembantu Tadbir Dituduh Curi Touch n’ Go Bernilai RM17,813

Share This:

Dua pembantu tadbir Jabatan Audit Negara didakwa di atas 235 pertuduhan mencuri tambah nilai Touch n’ Go berjumlah RM17,813 sejak Disember 2016 hingga April lalu.


Normaidzatulaqma Iskandar, 37, berdepan dengan 69 pertuduhan didapati melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016 hingga 24 April tahun ini di Aras 2, Cawangan Pentadbiran Sektor Pengurusan JAN, Precint 2, Putrajaya.


Tertuduh kedua, Farizah Nekmat, 37, pula berdepan 166 pertuduhan yang sama dilakukan pada 2 Februari hingga 24 April tahun ini.

Foto: Harian Metro

Harian Metro melaporkan, kedua-duanya melakukan jenayah tersebut di luar waktu pejabat, hari minggu dan cuti umum, pada waktu awal pagi hingga tengah malam di pejabat tersebut.


Dakwaan menyatakan mereka memasukkan duit antara RM1 hingga RM100 masing-masing menggunakan tujuh keping kad Touch n’ Go menerusi pos terminal tambah nilai.


Kesalahan tersebut jatuh dalam Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula boleh dikenakan penjara dan dikenakan denda atau sebatan.


Majistret Azizah Ahmad kemudian menetapkan Normaidzatulaqma dikenakan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai termasuk menyerahkan pasport.

Farizah pula dikenakan wang jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai termasuk menyerahkan pasport.


Normaidzatulaqma dalam rayuannya berkata, memohon kepada mahkamah mengenakan satu jaminan untuk semua pertuduhan kerana mempunyai banyak komitmen untuk menjaga tiga anak termasuk ibu yang tinggal bersama.


Manakala Farizah yang juga ibu tunggal meminta supaya mahkamah mengenakan satu jaminan bagi semua pertuduhan kerana terpaksa menanggung empat anak berusia antara 8 hingga 18 tahun yang masih bersekolah termasuk menjaga ibu serta menanggung hutang bekas suami.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*