Putera Charles Akan Lawat Taiping War Cemetery Esok

Share This:

Sempena lawatan pewaris takhta Britain, Putera Charles yang bermula semalam, sejarah bakal tercipta esok apabila Putera Charles akan membuat lawatan ke Tanah Perkuburan Perang Taiping, atau Taiping War Cemetery sempena lawatan sehari baginda dan isteri Camilla Parker ke negeri Perak.

Menurut Pengurus Negara, Suruhanjaya Perkuburan Perang Komanwel (CWGC), Gobhu Gopal, lawatan Putera Charles akan melonjakkan lagi nama Taiping ke mata dunia seterusnya membawa kesan positif kepada sektor pelancongan negeri dan negara ini, memetik laporan Bernama.

“Ini merupakan kunjungan paling besar yang kita terima dan akan meningkatkan lagi perkembangan kawasan itu sebagai salah satu kawasan sejarah dan tarikan pelancong di dalam negara khususnya bagi negeri Perak.

“Tapak perkuburan ini diselenggara secara konsisten sejak dahulu lagi dan sempena kunjungan kerabat diraja, kawasan sekitar telah diperindah dengan menanam serta menambah pokok bunga,” katanya kepada Bernama.

Kawasan perkuburan itu dibina bagi memperingati tentera British dan beberapa negara yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua serta sewaktu zaman darurat menentang komunis.

Putera Charles dan isteri Camillia, Duchess of Cornwall sedang dalam rangka lawatan seminggu ke negara ini sempena ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia dan United Kingdom.

Menurut Ghobu, lebih 850 anggota tentera yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua dan darurat disemadikan di tanah perkuburan itu termasuk 500 orang yang masih tidak dapat dikenal pasti identiti mereka.

Beliau berkata selain tentera British, perkuburan itu turut menempatkan parajurit dari Royal Malay Regiment, Gurkha dan Australia.

“Kubur ini dibahagi kepada dua iaitu satu perkuburan Muslim dan satu lagi perkuburan Kristian yang mana jika disambungkan keluasannya adalah lebih kurang sebuah padang bola sepak,” katanya sambil menambah tanah perkuburan itu dibuka setiap hari untuk dikunjungi bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata tanah perkuburan itu diselenggara oleh CWGC iaitu sebuah organisasi yang berperanan menanda, merekod dan mengekalkan kubur serta tempat untuk memperingati tentera negara Komanwel yang meninggal dunia dalam perang dunia.

Gobhu yang telah tiga tahun berkhidmat dengan CWGC berkata lebih 100 pengunjung dari dalam dan luar negara menziarahi tanah perkuburan itu setiap bulan termasuk orang kenamaan.

Sementara itu beberapa penduduk Taiping yang ditemui merasa teruja dengan kunjungan Putera Charles kerana merasakan kunjungan itu mampu memperkenalkan Bandar Warisan ini kepada masyarakat antarabangsa.

Pemandu teksi, K. Nandakumaran, 30, berkata lawatan itu akan memberikan impak dan menarik minat pelancong dari barat untuk berkunjung ke Taiping.

“Saya banyak hantar pelancong dari Britain ke tanah perkuburan ini kerana mereka mahu melihat kawasan persemadian tentera yang terkorban dalam peperangan,” katanya.

Bagi peniaga Romli Ahmad, 40, kunjungan Putera Charles membuktikan keprihatinan pewaris takhta Britian itu terhadap rakyatnya yang disemadikan di tanah perkuburan tersebut.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*