Musa Hassan Akan Saman Portal Kaitkan Beliau Dengan ‘9 Dragon’

Share This:

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan memfailkan saman fitnah ke atas portal-portal yang menyiarkan laporan bahawa beliau mengesahkan wujudnya 9 Dragon dalam negara sedangkan beliau tidak pernah menyebut atau mengesahkan di mana-mana pun atau pada bila-bila masa sebelum ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Musa berkata beliau kecewa dengan tindakan portal berkenaan mengaitkan dirinya dengan 9 Dragon secara tidak langsung ia adalah laporan berbaur fitnah ke atas dirinya.

“Saya akan mengambil tindakan memfailkan saman fitnah ke atas portal-portal terlibat kerana menyebabkan nama saya dan reputasi saya terjejas melalui laporan-laporan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata beliau hanya menceritakan pengalaman beliau ketika menjadi Ketua Polis Johor dalam usaha mengatasi kegiatan jenayah kongsi gelap dan tidak langsung menyebut tentang 9 Dragon.

“Saya hanya menceritakan bagaimana saya mengatasi masalah jenayah kongsi gelap ketika menyandang jawatan Ketua Polis Johor dengan menghasilkan satu senarai nama yang lengkap dengan nama ketua-ketua kongsi gelap berkenaan.

“Saya tidak pernah sekali pun menyebut nama 9 Dragon dalam mana-mana wawancara saya sebelum ini,” ujar Musa.

Musa memberikan peringatan tegas kepada portal yang menulis laporan berkenaan supaya berhenti menyiarkan berita untuk menaikkan populariti tapi mengenepikan fakta tentang peristiwa tertentu khususnya yang berkaitan dengan jenayah.

Perbuatan itu katanya, boleh menjadikan situasi dalam negara tidak stabil dan mengganggu siasatan polis.

“Saya tidak menyangka niat saya hendak berkongsi tentang langkah yang saya lakukan untuk banteras kongsi gelap telah disalah tafsir sehingga menyangkakan saya mengesahkan wujudnya 9 Dragon ini.

“Saya menafikan dengan tegas bahawa saya pernah menyebut atau mengesahkan bahawa 9 Dragon wujud atau ada di dalam negara ini,” katanya.

Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan siasatan dan tegas dalam membanteras jenayah demi menjaga keselamatan serta kestabilan awam tanpa mengira peringkat umur atau kedudukan dalam politik.

“Tidak ada sesiapapun yang kebal atau terkecuali daripada penguatkuasaan undang-undang dalam perkara membasmi jenayah,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*