Gegar Vaganza : Chef Wan Tegur Persembahan Nabil,Jihan

Share This:

 

Kehangatan Gegar Vaganza pada minggu pertama sahaja, pelbagai ‘drama’, lawak, serta persembahan sudah memukau para penonton.

 

Kesemua 12 peserta yang bertanding juga memberikan persembahan padu hingga juri tetap dan juri jemputan malam itu rata-ratanya memuji pada setiap persembahan.

 

Chef selebriti terkenal Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan yang menjadi juri undangan malam itu juga banyak kali dilihat suka dengan gaya persembahan mereka.

 

Namun, dalam keseronokan persembahan yang dihidangkan, Chef Wan memuat naik status di laman sosial Instagramnya yang dikatakan menegur cara pengacaraan Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

 

“Malam tadi, barulah saya ada peluang menonton konsert minggu pertama. Saya akui memang seronok. Inilah kali pertama saya menjadi juri untuk pertandingan seperti ini dan agak gementar jugalah.

 

“Dalam rasa tu, saya cuba untuk rileks dan bersikap jujur dalam setiap komen saya, cuma saya perhatikan pengacara Nabil dan Jihan ‘agak berlebih’ ketika mengacara,” katanya.

 

Beliau berkata, seharusnya dua hos ini bijak menjaga kata-kata dan perbuatan apabila mengacarakan rancangan yang mempunyai ramai pengikut ini.

 

“Saya rasa Nabil perlu banyak berlatih lagi. Tak manis bergurau dengan Datuk Ramli MS begitu memandangkan beliau jauh lebih berumur daripada mereka.

 

“Jangan buat lawak yang bukan-bukan hingga boleh menjengkelkan. Bila juri sedang komen, berilah peluang untuk kami bersuara,” katanya yang mendapat lampu hijau daripada pengurusan Astro untuk melontarkan pendapat walaupun bukan gilirannya.

 

Chef Wan turut mengakui, terpaksa menunggu lama untuk memberikan pendapat tentang persembahan namun perkara itu tidak dapat dibuat kerana pengacara terlalu lama bercakap.

 

“Begitu juga, juri tetap, Ibu Hetty (Hetty Koes Endang) herdik sampai kata… kasi ibu omong sekarang, bisa!

 

“Bukan sekali tetapi dua kali perkara itu terjadi. Saya rasa beliau kecewa dengan drama-drama pengacara ini yang tak henti-henti menjadikan suasana atas pentas itu kecoh tak tentu pasal,” ujarnya.

 

Beliau turut mengingatkan Nabil dan Jihan agar mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan yang membawa pelbagai maksud.

 

“Saya juga tengok macam mana Hazami seakan marah dengan tindakan Nabil yang mengusik kepalanya semasa di atas pentas.

 

“Tolonglah, lebih rasa hormat dengan penonton dan peserta yang lebih senior dari kamu. Kamu berdua pasangan pengacara yang bagus, jaga batasan dan jangan terlalu sangat mengusik juri,” katanya.

 

Gegar Vaganza musim keempat ini membariskan penyanyi profesional seperti Aishah, Liza Hanim, Lan Kristal, Tia Jinbara, Ferhad, Firman, Raja Azura, Aqasha dan ramai lagi.

 

Dipentaskan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Gegar Vaganza mendapat tajaan dari Pamoga dan diadili dua juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan penghibur dari Indonesia Hetty Koes Endang.

 

Program ini juga disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

 

Manakala,juara dikatakan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala naib juara akan menerima RM50,000.

 

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

 

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*