Sultan Nazrin Berkenan Ringankan Hukuman Mati Dua Banduan

Share This:

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan meringankan hukuman mati terhadap dua banduan kepada penjara seumur hidup sempena Hari Keputeraan baginda, Jumaat ini.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, keputusan itu dibuat pada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri yang dipengerusikan Sultan Nazrin pada 12 Oktober yang lepas.

Menurutnya, kedua-dua banduan tersebut disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan setiap seorang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Taiping masing-maisng pada 19 Mac 2009 dan 15 Jun 2009.

“Rayuan kedua-dua mereka telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan dan mereka sudah menjalani hukuman penjara lebih 16 tahun mulai tarikh reman pada 2001.

“Dengan pengampunan itu, kedua-dua banduan berkenaan kini dipenjara seumur hidup berkuat kuasa mulai tarikh persidangan itu (12 Okt),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Puhat berkata Sultan Nazrin bertitah bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara dihormati.

“Baginda juga menitahkan pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah akan hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf.

“…sedar serta menyesal akan kesalahan yang dilakukan dan memohon maaf, berkelakuan baik semasa dalam tahanan serta menunjukkan azam untuk memulakan penghidupan baharu,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*