Piala Malaysia: Penyokong Perak Harap Mutu Pengadilan Lebih Baik

Share This:

PETALING JAYA: Penyokong Perak berharap dapat melihat mutu pengadilan lebih baik dan profesional pada final Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam Sabtu ini.

Presiden Perak Die Hard Fan, Roslan Mat Baharom berkata pengadil yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan itu seharusnya menjalankan amanah mereka secara telus dan baik tanpa ada kebimbangan terhadap mana-mana pihak.

“Kalau kita tengok perlawanan sebelum ini terutamanya membabitkan sebuah kelab itu, ramai pengadil macam ‘menyukai’ skuad itu.

“Itu tak dinafikan… semua orang pun mengakuinya. Jadi saya harap tiada unsur seperti ini pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Roslan, kelemahan pengadil pastinya akan merencatkan aksi menarik yang ditagih daripada kedua-dua pasukan itu.

“Jadi pengadil kena buat keputusan dengan bijak pada malam itu. Kita harap suara ini didengari kerana kita mahukan hasil perlawanan yang menarik,” katanya.

Bagaimanapun Roslan yakin skuad Lang Merah memiliki kelebihan untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas mengambil kira prestasi konsisten pasukan tersebut dalam aksi Liga Malaysia musim ini.

 

Antara aksi pemain Kedah dan JDT ketika perlawanan akhir Liga Super di Stadium Darul Aman, malam Sabtu lalu. fotoBERNAMA

“Pasukan Kedah ada banyak kelebihan. Corak permainan mereka lebih teratur, pemain juga berdisiplin dan mereka bermain bersungguh-sungguh.

“Jika kita tengok perlawanan Liga Super antara Kedah dan JDT Sabtu, pemain muda Kedah turut menonjol. Jadi gandingan pemain muda dan senior ketika ini boleh dikatakan cukup mantap,” katanya.

Malah, beliau turut meramalkan Kedah akan menundukkan JDT 2-1 sekali gus membolehkan pasukan kendalian ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff itu melengkapkan koleksi piala domestik ketiga mereka musim ini.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Mohd Faizal Wahid mencadangkan agar pengadil luar dijemput untuk mengadili perlawanan final Piala Malaysia pada masa hadapan.

Tegas beliau, cadangan itu perlu dipertimbangkan agar mutu pengadilan yang lemah membabitkan sesetengah pengadil dapat dihapuskan.

“Kalau boleh saya cadangkan jemput pengadil dari luar khususnya dari Asia supaya tak ada unsur berat sebelah.

“Kalau kita tengok sebelum ini pun ada segelintir pengadil memberi kelebihan kepada pasukan tertentu, jadi ini tidak adil untuk pasukan lain,” katanya.

Untuk rekod, Kedah sudah pun menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim ini manakala JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

Kedah turut memenangi kejohanan Piala Malaysia sebanyak lima kali manakala JDT belum pernah merangkul trofi tersebut sejak bergelar kelab.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*