Penyokong JDT Berkampung Di Stadium

Share This:

JOHOR BAHRU: Demi Johor Darul Ta’zim (JDT), peminat tegar pasukan bola sepak itu sanggup ‘berkampung’ di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos sejak malam malam Selasa bagi memastikan mereka menjadi antara yang terawal membeli  tiket perlawanan final Piala Malaysia secara kaunter pada Rabu.

Mereka yang datang beramai-ramai termasuk bersama anggota keluarga turut membawa peralatan seperti khemah dan tikar bagi membolehkan mereka berteduh dan berbaring di perkarangan stadium itu.

Seorang daripada mereka Asmahwati Mohd Dom, 43, berkata  dia bersama suami serta anak dan adiknya tiba di stadium itu pada 8.30 malam.

Katanya  mereka adalah peminat tegar Harimau Selatan dan tidak pernah terlepas peluang  menyaksikan perlawanan penting membabitkan pasukan kesayangan mereka  di luar kawasan.

“Saya cuba beli tiket secara dalam talian petang tadi tapi tidak berjaya kerana sistem laman web JDT terganggu,” katanya kepada Bernama.

Susulan itu, Asmahwati berkata suaminya  mencadangkan agar mereka datang berkampung di sini untuk memastikan mereka dapat membeli tiket tersebut sebaik kaunter dibuka Rabu.

Bagi Arif Abdul Aziz, 26,  dia dan enam rakannya berada di stadium itu sejak 7 malam tanpa sebarang persediaan untuk bermalam dengan harapan cuaca akan menyebelahi mereka.

“Kalau hujan  terpaksa kami mencari tempat yang sesuai di stadium untuk dijadikan tempat tidur kerana kami tidak membawa khemah ataupun selimut. Cuma ada makanan sahaja,” katanya yang langsung tidak kisah ‘berkampung’ tanpa  sebarang persediaan.

“Ini kali ketiga kami buat begini. Ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi kami semua datang dari kampung yang sama dan bersekolah di sekolah sama iaitu SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan)  Sri Lalang, Kluang dahulu,” katanya.

Berbeza bagi Norashazmieza Ayub, 15, dia dan ayahnya serta dua lagi rakan berasal dari Kulai namun sanggup bertandang ke stadium untuk membeli lapan tiket, Rabu.

“Kebetulan esok adalah hari pelepasan di sekolah, jadi saya manfaatkannya untuk ikut ayah,” katanya.

Perlawanan akhir Piala Malaysia antara  JDT dan Kedah akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor  pada Sabtu ini.

Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan dengan setiap pasukan menerima 30,000 tiket dewasa dan 750 kanak-kanak manakala baki 10,000 tiket dewasa serta 500 tiket kanak-kanak dijual menerusi dalam talian.

Tiket bagi dewasa berharga RM50 manakala kanak-kanak RM5 termasuk cukai dan perlindungan insurans.- Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*